Rabu, 4 Mac 2015

Peserta himpunan #KitaLawan tidak dibayar

 
Kami tidak pernah menawarkan apa-apa insentif kewangan


kitalawan


PETALING JAYA : Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa peserta himpunan #KitaLawan dibayar untuk menyertai perhimpunan itu.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Nik Nazmi Nik Ahmad berkata tidak wujud soal bayaran kepada perserta himpunan.

“Apa yang kami lakukan hanyalah menggerakkan jentera dan mengajak orang ramai untuk turun menyertai himpunan itu.

“Tetapi kami tidak pernah menawarkan apa-apa insentif kewangan,” katanya di ibu pejabat PKR di sini hari ini.

Baru-baru ini sepucuk ‘surat’ yang didakwa datang dari Pejabat Setiausaha Agung PKR, telah tersebar di laman sosial termasuk beberapa laman blog.

Kandungan surat itu mengatakan bahawa setiap peserta demo telah dibayar RM150 sebagai elaun perjalanan dan elaun makan manakala RM500 untuk elaun penginapan setiap cabang.

Dalam pada itu Naib Ketua AMK, Fahmi Fadzil berkata terdapat beberapa kecacatan pada imej ‘surat’ itu termasuk kepala surat yang tidak muncul pada mukasurat kedua.

“Saya hendak jelaskan di sini bahawa tiada surat dikeluarkan dan siapa yang menghantarnya mempunyai niat buruk,” katanya.

Terdahulu, AMK dalam sidang medianya, menyatakan sokongan terhadap himpunan #KitaLawan yang akan diadakan Sabtu ini di kompleks beli belah Sogo, Kuala Lumpur.

Nik Nazmi berkata kepimpinan AMK akan berkumpul di Masjid Jamek, iaitu salah satu dari tiga lokasi di mana dua lokasi ylain adalah di Pasar Seni dan Ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut sebelum bergerak menuju ke Sogo.

“AMK turut mempelawa seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keadilan, yang mahu menegakkan kebenaran dan yang menginginkan masa depan yang lebih baik untuk negara kita untuk hadir di perhimpunan aman ini.

“Kita juga mensasarkan seramai mungkin orang menyertai himpunan ini,” katanya

Tiada ulasan: