Mohamad Sabu Mohamad (tengah) hadir merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Shah Alam di IDCC, semalam. - Foto Sinar Harian oleh AFIQ RAZALI
 
 
 
SHAH ALAM - Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu menyifatkan pergolakan yang berlaku dalam Pas ketika ini hanya perkara kecil dan kini menuju jalan penyelesaian.

Menurutnya, perbezaan pendapat sentiasa berlaku, bagaimanapun ia akan dapat diselesaikan dan Pas akan menjadi lebih kuat pada masa akan datang.

“Masalah yang ada sekarang ini biasa sahaja, ia masalah kecil jika hendak dibandingkan masa wujud Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), sampaikan Pas tinggal dua kerusi sahaja di Kelantan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pas kawasan Shah Alam di IDCC, semalam.

Beliau turut memberi reaksi sama ketika ditanya berkenaan kewujudan Pasma yang didakwa mengancam ketenteraman dalaman Pas.

“Rintangan yang ada sekarang kecil dan sekarang pun dah semakin reda. Kita percaya akan dapat menyelesaikannya,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung kedudukan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, jawatan yang dipertandingkan serta kesediaan Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang memutuskan sedia mencabar kedudukan beliau, Mohamad enggan mengulas lanjut.

“Saya tidak mahu komen. Kita tunggu sahajalah nanti lagi dua, tiga minggu lagi,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau mengingatkan orang Islam supaya menguasai amalan dan akidah dalam satu masa untuk menjadi pemimpin yang cemerlang.

“Kita khuatir kerana apa yang dapat dilihat sekarang adalah agama Islam itu milik orang Islam tetapi tidak pada amalan positif. Ia tidak seimbang dan perlu diperbaiki dengan mencontohi orang lain yang lebih baik daripada kita,” katanya.