Isnin, 23 Mac 2015

Penyelewengan audit antara punca hutang 1MDB bertimbun – Tony Pua

tony_pua_forum_krisis_selangor

Roketkini.com


 
PETALING JAYA: Pendedahan terbaru Sarawak Report mengenai syarikat audit KPMG yang bersubahat menutup skandal kerjasama 1MDB PetroSaudi dengan 1MDB dalam penyata kewangan Mac 2010 mengecewakan seluruh rakyat Malaysia.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua mengatakan bukti KPMG terlibat dalam penipuan jelas apabila Sarawak Report mendedahkan satu emel bertarikh 9 Jun 2010 antara Ketua Pegawai Pelaburan 1MDB Nik Kamil dan Ketua Pengarah Eksekutif PetroSaudi Patrick Mahoney.

“Emel itu sendiri menjadi bukti kukuh KPMG bukan sahaja bersubahat untuk menutup usaha sama itu, bahkan mereka juga memberikan nasihat kepada 1MDB tentang bagaimana untuk melaksanakan penyembunyian transaksi perjanjian mengikut kehendak mereka,” kata Tony.

Menurut beliau lagi, kegagalan KPMG untuk bertindak secara berintegriti dan mandiri dalam menjalankan audit telah menyebabkan 1MDB mengumpul hutang yang menggunung.

“Tindakan mereka membantu menyembunyikan usahasama 1MDB dan 1MDB PetroSaudi telah membolehkan 1MDB terus bertindak secara sembarangan memberikan lebih banyak wang tunai kepada PetroSaudi.

“Akibatnya, 1MDB mengumpul hutang raksasa RM42 bilion walaupun baru empat tahun beroperasi. Jelas sekali KPMG sudah mengecewakan seluruh rakyat Malaysia,” tegas Tony.

Sarawak Report pada 20 Mac lalu mendedahkan bukti yang menunjukkan bahawa dalam melakukan audit untuk 1MDB, KPMG membuat ‘pengubahsuaian’ ke atas akaun syarikat itu untuk tempoh sehingga Mac 2010.

Menurut laporan laman web berkenaan, antara ‘pengubahsuaian’ yang dibuat ialah meminda tarikh dokumen yang disebut dalam laporan audit, selain meminda perjanjian yang pernah ditandangani 1MDB. -Roketkini.com


Tiada ulasan: