Sabtu, 14 Mac 2015

Pensyarah, Penuntut USM Terselamat Kongsi Detik Cemas Nahas Bas Di Acheh


MSTAR ONLINE


Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohd Hazizan Mohd Hashim (kanan) menunjukkan kecederaan yang dialami kepada warga USM yang menyambut rombongan berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Jumaat.-fotoBERNAMA
 
 
 
GEORGE TOWN: "Ceper! ceper! (brek tidak berfungsi) itu teriakan terakhir yang saya dengar sebelum tercampak keluar daripada bas dan terjatuh dari cenuram berdekatan gaung," kata Dr Mohd Hazizan Mohd Hashim, seorang daripada mangsa kemalangan di Geumpang, Acheh Rabu lepas.

Mohd Hazizan, 36, berkata dalam kejadian pukul 7 malam waktu Indonesia itu bas yang dinaiki bersama 24 yang lain sedang melalui selekoh tajam sebelum terbalik ke kiri apabila cuba mengelak daripada merempuh sebuah kereta dari hadapan.

"Ketika itu muka saya di sebelah kiri telah dipenuhi darah akibat tercampak, saya menjerit meminta tolong tetapi keadaan agak kelam kabut dan saya cekalkan hati, panjat tebing dari ketinggian 12 kaki untuk naik ke atas," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di sini Jumaat.

Beliau berkata semasa kejadian cuaca agak gelap serta berkabus tipis namun pemandu cekap bertindak dan sempat menyelamatkan kenderaan itu daripada terjerumus ke dalam gaung yang terletak di sebelah kanan jalan yang bergunung ganang itu.

Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata setiap tahun penuntut tahun akhir akan dibawa menyertai lawatan lapangan ke luar negara dan kali ini mereka ke Indonesia menyaksikan lombong arang batu dan emas.

Seorang penuntut Shaik Abdul Rahman Shaik Abdul Wahab, 23, berkata ketika kemalangan itu beliau duduk di barisan paling belakang di sebelah kiri bas menyebabkan tangan kirinya terhimpit dan cedera.

Rakan sekelas kepada Muhamad Izzamir Nabihan Abdul Majid, 23, berkata suasana hingar bingar dengan jeritan sebelum keadaan bertukar senyap selepas kenderaan itu terbalik.


"Tidak lama kemudian orang kampung tiba dan membantu kami keluar dari bas," katanya sambil memberitahu itu ialah hari keempat mereka berada di Indonesia sejak 8 Mac lepas.

Beliau berkata Muhamad Izzamir yang bersifat periang dan kelakar kelihatan pendiam sepanjang lawatan mereka hari itu sebelum cedera dalam kemalangan berkenaan dan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Pusat Kesihatan Masyarakat Geumpang, Acheh.

Sementara itu, Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Omar Osman berkata sejumlah 23 pelajar dan kakitangan rombongan itu selamat tiba pada pukul 4.10 petang ini dari Banda Acheh.

"Seorang pelajar telah pulang pagi tadi mengiringi jenazah Muhamad Izzamir," katanya.

Beliau berkata sejumlah 25 ahli paramedik ditugaskan memberi kaunseling dan menjalankan saringan kesihatan kepada rombongan itu dengan tiga daripada mangsa kemalangan terdiri daripada dua pensyarah dan seorang pelajar terpaksa dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

"Seorang dihantar ke Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, USM di Bertam, seorang di Hospital Pulau Pinang dan seorang lagi di hospital swasta di sini," katanya.



Tiada ulasan: