OLEH ANISAH SHUKRY
Kebanyakan
pengundi Melayu merasakan kriteria paling utama bakal Perdana Menteri
Malaysia ialah perlu adanya “kebolehupayaan dalam hal-hal keislaman”,
dengan majoriti lebih mengutamakannya daripada kriteria lain seperti
'kerajinan' dan “mempunyai kemahiran ekonomi dan pengurusan”, menurut
satu kajian baru-baru ini.
Kaji selidik yang dijalankan Merdeka Center itu menunjukkan pengundi
Melayu berasa “mengambil pendirian tegas terhadap rasuah” antara sifat
yang paling penting diperlukan pada seorang perdana menteri, walaupun
Pakatan Rakyat (PR) terus menggunakan dakwaan aktiviti rasuah Barisan
Nasional (BN) sebagai senjata utamanya terhadap Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Razak dan parti pemerintahnya.
Apabila diminta memilih dua kualiti tertinggi pada seseorang perdana
menteri, 35.8% Melayu memilih kebolehupayaan dalam hal-hal keislaman
manakala hanya 24.3% memilih pendirian yang tegas dalam memerangi
rasuah.
Kriteria lain yang disenaraikan sebagai pilihan ialah “kemahiran
ekonomi dan pengurusan” yang mendapat 8.6%, “ketegasan” (7.8%), “jujur”
(6%), “rajin” (4.8 %), “adil/saksama kepada semua kaum” (4.6%),
“mempunyai pasukan penasihat yang cekap dan bagus” (1.5%), “pandai
berucap di khalayak” (1.2%), dan “cekap” (1%).
Orang Melayu membentuk bilangan pengundi terbesar di Malaysia, dengan
kira-kira 60% daripada keseluruhan undi, berbanding Cina (30%) dan India
(10%).
"Kajian ini menunjukkan, pemimpin yang mahu tampil dan mempromosikan
dirinya sebagai individu paling berkuasa perlu membuktikan mereka
mempunyai kelayakan Islam dan kesedaran dan kepekaan tentang Islam,"
kata Ibrahim Suffian, Pengarah Merdeka Center.
"Mereka tidak semestinya seorang ulama atau ustaz, cuma Islam ialah
sesuatu yang sangat penting kepada identiti Melayu hari ini," katanya
mengulas tinjauan yang ditaja The Malaysian Insider itu.
Beliau berkata, orang Melayu kini semakin sedar dengan identiti mereka
sebagai orang Islam, susulan pendidikan dan penerapan nilai-nilai Islam
di Malaysia, dan mereka mahukan pemimpin yang menerapkan nilai yang sama
seperti mereka.
"Mereka mahu tahu apa pendirian pemimpin mengenai hal berkaitan Islam
seperti konflik Palestin, undang-undang Islam ... mereka mahu pemimpin
yang sekurang-kurangnya boleh bercakap tentang al-Quran, yang boleh
merujuk kepada isi kandungan kitab agama itu," kata Ibrahim.
Tetapi Ibrahim menafikan ini bermakna PAS, satu-satunya parti Islam di
Malaysia, mempunyai lebih kelebihan, kerana orang Melayu juga mahukan
seorang perdana menteri yang boleh membendung rasuah dan melayan setiap
orang dengan adil.
Sementara itu, sebahagian besar kaum Cina (28.5%) yang ditemu ramah
memilih “kemahiran ekonomi dan pengurusan” sebagai satu daripada dua
kriteria utama dalam memilih seorang perdana menteri, diikuti dengan
“pendirian tegas terhadap rasuah” (27.2%) dan “adil kepada semua kaum”
(18.5%).
Orang India lebih mengutamakan seorang perdana menteri yang “adil
kepada semua kaum” (38.2%) dan “rajin” (17.6%), menurut kajian tersebut.
Tanpa mengambil kira faktor kaum, responden yang tidak membuat
keputusan sama ada untuk menyokong BN atau PR kebanyakannya memilih
'pendirian tegas dalam membendung rasuah sebagai satu daripada dua
kriteria tertinggi mereka (21.5%), diikuti kebolehupayaan dalam hal-hal
keislaman (17.8%), kemahiran ekonomi dan pengurusan (17.3%) dan
adil/saksama kepada semua kaum (17.3%).
Penyokong BN paling menekankan kepada kebolehupayaan dalam hal-hal
keislaman (30.5%) dan pendirian tegas terhadap rasuah (22.3%), manakala
penyokong PR memilih pendirian tegas terhadap rasuah (21.4%) dan
kemahiran ekonomi dan pengurusan ( 22.6%).
Secara keseluruhannya, adil/saksama kepada semua kaum adalah kriteria
yang paling popular bagi seorang perdana menteri di kalangan rakyat
Malaysia, dengan 12% daripada responden memilihnya sebagai kriteria
pertama mereka, dan 29% mengatakan ia adalah kriteria kedua mereka.
Kebolehupayaan dalam hal-hal keislaman merupakan pilihan kedua, dengan
22% memilihnya sebagai kriteria utama mereka dan 9% memilihnya sebagai
kriteria kedua. Ketiga ialah berpendirian tegas terhadap rasuah, dengan
kebanyakan rakyat Malaysia (23%) memilihnya sebagai kriteria yang
pertama, dan 3% meletakkannya sebagai kedua paling penting.
Dalam Umno, pemimpin tertinggi seperti Najib, Timbalan Presiden Tan Sri
Muhyiddin Yassin, dan Naib Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi,
sering menggambarkan diri mereka sebagai pembela Islam dan umat Islam,
dalam satu keadaan yang semakin meminggirkan masyarakat bukan Melayu,
yang kebanyakannya mengundi pembangkang pada pilihan raya umum 2013.
Najib menonjolkan dirinya sebagai perdana menteri Islam sederhana di
Malaysia dan pada peringkat antarabangsa, dan berucap menentang
keganasan yang diteruskan militan seperti Negara Islam Iraq dan Syria
(Isis).
PR memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, kerana
beliau turut membawa imej Islam yang sederhana, dan sering menyelitkan
ucapan beliau dengan ayat al-Quran dan kata-kata ulama Islam seperti
Yusuf Al Qaradawi. Ketua pembangkang itu juga pernah berkhidmat sebagai
presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dari 1974-1982.
Tinjauan ini melibatkan 1,008 responden yang layak mengundi, ditemu
bual melalui telefon dari 21-30 Januari dan dipilih secara rawak
berstrata mengikut etnik, jantina, umur dan kawasan Parlimen.
Semua kawasan Parlimen mengambil bahagian dan pemilihan responden bersesuaian dengan bilangan penduduk.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan