THE MALAYSIAN INSIDER
Rakyat Malaysia akan berpeluang mendengar
secara langsung mengenai syarikat yang sarat dibebani hutang 1Malaysia
Development Berhad (1MDB) daripada pengarang Sarawak Report, Claire
Rewcastle Brown, pada satu forum esok.
Wartawan penyiasatan yang berpengkalan di Britain itu akan menyertai
dua lagi pengkritik tempatan dalam forum
"1MDB: The Ultimate Low Down"
yang akan diadakan melalui telesidang video, kata Ketua Publisiti DAP
Tony Pua.
Dua lagi ahli panel ialah Pua sendiri, yang juga ahli Parlimen Petaling
Jaya Utara dan Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli, yang juga ahli
Parlimen Pandan.
"Seperti yang kita tahu, pendedahan dibuat laman web Sarawak Report
memberi bukti penting – dalam bentuk dokumen rahsia dan perbualan e-mel –
untuk mempertahankan pelbagai kritik dibuat terhadap 1MDB sejak
beberapa tahun lepas," kata Pua.
Katanya, Brown mungkin mendedahkan lebih informasi mengenai 1MDB pada
forum jam 3 petang di Hotel Crystal Crown, Petaling Jaya esok,
berdasarkan ribuan dokumen berkaitan syarikat milik kerajaan itu yang
didakwa dimilikinya.
"Perbincangan itu akan dikendalikan oleh Cynthia Gabriel, pengarah
eksekutif Centre to Combat Corruption & Cronyism (C4)," kata Pua
yang menjemput semua rakyat Malaysia menyertai forum itu.
Sarawak Report sejak beberapa minggu lalu lantang membuat satu siri
pendedahan mengenai 1MDB, dengan Brown baru-baru ini berjanji dalam satu
temu bual media yang terdapat banyak lagi yang akan didedahkan.
Sarawak Report mendakwa, ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho,
lebih dikenali sebagai Jho Low, menggunakan PetroSaudi International
(PetroSaudi) sebagai topeng untuk membawa keluar AS$700 juta daripada
1MDB.
Ia juga mendakwa Low yang menjadi dalang di sebalik usaha sama antara
kedua-dua syarikat, yang menyebabkan 1MDB terpaksa membayar balik
pinjaman kepada PetroSaudi, tetapi dana itu didakwa disalurkan ke sebuah
syarikat lain, Good Star Limited, yang dikuasai Low.
Low, PetroSaudi dan 1MDB sejak itu menafikan mereka melakukan sebarang
kesalahan, manakala Kabinet pada 4 Mac membersihkan 1MDB, mengatakan
dakwaan itu hanya membabitkan pihak luar dan bukan syarikat pelaburan
strategik itu.
Bagaimanapun, berikutan tekanan demi tekanan yang diterima, Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, Ketua Audit Negara akan
menjalankan audit bebas terhadap akaun 1MDB dan laporan itu kemudiannya
akan diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, polis dan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk tindakan selanjutnya.
Najib juga berjanji tindakan sewajarnya akan diambil jika terdapat sebarang salah laku
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan