Bung Mokhtar Radin
 
 
 
KUALA LUMPUR - Pemimpin pembangkang disifatkan kufur nikmat apabila tidak langsung menghargai bantuan banjir yang dihulurkan kerajaan Pusat apabila terus menghentam pemerintah di Dewan Rakyat.
 
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin berkata, merujuk kepada isi perbahasan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
 
"Saya duduk di sini setengah jam mendengar hujah Kuala Nerus begitu naif berhubung hujahnya terhadap kerajaan BN. Seolah-olah tidak ada langsung kebaikan yang dibuat oleh kerajaan. Ini namanya kufur nikmat.
 
"Apabila berlaku keadaan begitu (banjir di Kelantan), kerajaan mana yang datang membantu? Sudah tentu kerajaan BN...yang dituduh tidak berbuat apa-apa, zalim (dan) merampas harta rakyat.
 
"Tapi apabila banjir tiba, YAB Menteri Besar Kelantan (Datuk Ahmad Yaakob) kata, saya tidak mampu melakukan apa-apa sebab kita tidak mampu berbuat apa-apa. Apabila tidak mampu...kalau bukan kita (BN) datang membantu, rakyat Kelantan akan merana sampai hari ini," katanya.
 
Malah beliau turut memberitahu sidang bahawa walaupun kerajaan menerima tohmahan namun, usaha membantu rakyat di negeri itu tetap diteruskan.
 
"Hari ini pun, walau pelbagai tohmahan, kerajaan membina rumah, Menteri Luar Bandar (Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah (KKLBW), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) tiap-tiap minggu turun (untuk) lihat dan bantu...pun dituduh macam-macam. Ini namanya pemimpin-pemimpin tidak bersyukur," katanya.
 
Namun, menurut Bung, bukan semua pemimpin PR mempunyai pemikiran seperti Khairuddin.
 
"Bukan semua (pemimpin pembangkang) yang berhujah demikian (kritik kerajaan). Macam sahabat saya, Ustaz ini (Nasrudin Hassan Tantawi, Ahli Parlimen Temerloh) tidak begitu (ketika berhujah semalam). Tapi saya tidak tahu Kuala Nerus ini. 
 
Tidak ada satu sen pun kebaikan kerajaan BN," katanya.
 
Kemudian Speaker Dewan, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menegah Bung daripada meneruskan hujah berkaitan parti.
 
 
 
"Kinabatangan, sampai di situ sahaja (berhujah soal parti)," katanya.
 
Manakala Bung menjawab, "ya Tan Sri sampai di sini sahaja. Saya teruskan dengan perkara lain."
 
Sebelum itu, Khairuddin berhujah sekitar setengah jam menyentuh soal pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang disifatkan tidak mengikut syarak, isu tanah di perkampungan Chubadak serta nelayan yang terancam di Terengganu.