Khamis, 12 Mac 2015

Pemimpin MIC desak polis siasat segera klip video Palanivel

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Klip video seorang lelaki mirip Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel 'terlepas cakap' yang tersebar meluas di internet semalam, sememangnya adalah 'dari mulut' pemimpin berkenaan, dakwa Bekas Pengarah Strategi parti itu, Datuk Seri S Vell Pari.
 
Beliau berkata, ia berdasarkan keselarian di antara kata-kata yang diucapkan lelaki itu dengan bahasa badan dan pergerakan.
 
"Bagaimanapun, saya bukan seorang pakar forensik. Jadi yang terbaik adalah untuk menunggu polis melengkapkan siasatan itu. 
 
"Saya cadangkan polis dengan segera mendapatkan seorang pakar bunyi dan suara untuk mengesahkan jika ia suara Dato Palani," katanya dalam satu kenyataan. 
 
Kata anak kepada bekas Presiden, Datuk Seri S Samy Vellu itu lagi, Ketua Polis Negara perlu melakukan siasatan segera dan tidak perlu menunggu Palanivel membuat laporan polis berhubung hal berkenaan.
 
"Siasatan perlu dibuat 'sebagai ganti' kepada komen menghina dibuat terhadap kerajaan yang memerintah, secara tidak langsung mencemarkan imej kerajaan oleh seorang menteri kabinet," ujarnya.
 
Tambahnya, beliau turut mendapatkan khidmat seorang pakar bagi menganalisis klip video itu, demi kebaikan parti dan juga Barisan Nasional (BN).
 
Semalam, sebuah klip video yang memaparkan seorang lelaki mirip Palanivel mengeluarkan kenyataan terbuka mengenai ahli parti dan masyarakat India, tersebar meluas di internet, sekaligus menambahkan kekusutan yang melanda parti berkenaan. 
 
Dalam video berdurasi 3 minit 16 saat itu, lelaki berkenaan berkata beliau mempunyai hubungan rapat dengan PKR dan menyalahkan pengundi India atas kemenangan majoriti kecil BN di Cameron Highlands dalam pilihan raya umum ke-13.
 
Dalam pilihan raya umum lepas, Palanivel yang mewakili kerusi parlimen berkenaan menewaskan empat calon lain dengan majoriti tipis 462 undi.
 
Beliau mendapat 10,506 undi dengan DAP M Manogaran mengekorinya dengan 10,044 undi.
 
Palanivel dalam reaksinya hari ini menafikan beliau pernah mengeluarkan kata-kata sedemikian, dan menganggapnya sebagai cubaan memburukkan imej beliau menjelang pemilihan semula parti, tidak lama lagi. 
 
Palanivel berkata beliau akan membuat laporan polis berhubung klip video berkenaan dan menggesa tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab.
 
 

Tiada ulasan: