Sabtu, 7 Mac 2015

Pemilihan PAS bakal 'singkir' pemimpin 'membebankan', kata Harun Din

Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz

 
Post Pic
 
 
[EKSKLUSIF] SHAH ALAM: Pemimpin PAS yang menjadi “beban” kepada perjuangan parti akan dihukum oleh ahli PAS menerusi pemilihan parti Jun ini, kata Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr. Haron Din. 
 
Tanpa menuding jari kepada sesiapa, tokoh PAS itu yakin pergolakan semasa dalam PAS yang dilabelkan sebagai pertembungan di antara golongan ulama dan profesional akan reda selepas ahli parti membuat pilihan mereka. 
 
"Hal ini akan selesai apabila berlaku muktamar PAS. (Sekarang) panas sekejap, (sebab) berlaku pemilihan,” kata beliau kepada Antarapos. 
 
“Malah saya percaya ahli PAS yang hadir pada muktamar nanti sudah cukup matang untuk membuat pemilihan dan penilaian. Mereka akan tahu siapa yang akan membina parti yang mereka dukung dan siapa yang akan menjadi liabiliti (beban).”
 
"Jadi sudah pastilah siapa yang menjadi liabiliti kepada parti, maka ahli PAS akan menghukum. Oleh itu, maka lepas muktamar nanti, keadaan ini akan reda-seredanya," kata beliau.
 
PAS dilihat dalam keadaan krisis dengan penggunaan kekerasan dilaporkan menular dalam perbalahan di antara golongan ulama dan golongan proffesional. 
 
Kelmarin, bekas Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkifli Ahmad ditumbuk oleh dua orang yang menceroboh masuk rumahnya. 
 
Sebelum ini, kereta Pengarah Pilihanraya PAS Dr Hatta Ramli dibakar oleh individu yang tidak dikenali. 
 
Dzulkifli, Hatta dan timbalan presiden PAS Mohamad Sabu dikaitkan dengan golongan profesional yang mencabar kepimpinan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan ulama lain.   
 
Haron berkata perbalahan sekarang adalah mirip dengan krisis yang melanda PAS tahun 1980an.
 
Beliau menegaskan, imej parti itu pulih semula daripada krisis berkenaan selepas ahli PAS menjadikan pimpinan ulama sebagai teras menerajui parti itu.
 
Beliau berkata jika sekarang pertembungan membabitkan  cabaran daripada golongan profesional terhadap ulama, tahun 80an timbul perbalahan 'ulamak dan para akademik'.”
 
"Jadi ada golongan ulama dan ada golongan akademik, maksud golongan akademik ialah pensyarah-pensyarah kanan universiti yang berkumpul dan sama-sama berjuang dengan PAS," katanya.
 
"Berlaku ketika itu pertemuan antara golongan akademik dan kepemimpinan ketika itu. Agak parah ketika itu… pilihan raya Kelantan pun ketika itu bukan sahaja PAS kalah tetapi tinggal dua kerusi, jadi kita nampak begitu teruk ketika itu,” kata beliau. 
 
“Namun, dapat dipulihkan balik apabila kepemimpinan dapat ditentukan balik kepada kepemimpinan ulama," kata Haron.
 
Menjelang pemilihan PAS, Haron menegaskan keperluan semua pihak untuk menghindari daripada serangan peribadi. 
 
Ditanya sama ada Hadi terlampau “keras” dalam kritikannya terhadap sesetengah pihak dalam PAS, Haron berkata Hadi sendiri menjadi mangsa kritikan kesat oleh musuh politiknya. 
 
"Tuan Guru Presiden tidak dapat mengelak daripada apa yang ditimbulkan dalam media. Memang pun Abdul Hadi perlu jawab, “ kata beliau. 
 
“Bagaimanapun jawapan beliau itu kadang-kadang dinilai sebagai keras, (tapi) ada orang melihat adalah padan itu bahasa yang digunakan kerana yang menyerangnya pun menggunakan bahasa yang sama," katanya.
 
Menjelang pemilihan parti,  Hadi dan golongan ulama di dalam PAS dilihat menjadi sasaran golongan profesional dan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia, PasMa.
 
Hadi dikatakan melihat golongan berkenaan sebagai terlampau mendokong agenda Pakatan Rakyat sehingga mengabaikan perjuangan Islamiah PAS. 
 
Keadaan bertambah buruk apabila pendedahan yang terbaharu apabila Mohamad Sabu didakwa mahu menggulingkan Abdul Hadi di dalam satu rakaman audio yang disebarkan secara meluas.
 
Rakaman itu mula dimuatkan dalam akaun facebook Tuck Tok Husin Ceroi yang dikaitkan dengan penyokong kumpulan ulama Pas.
 
Rakaman itu menunjukkan seorang yang mirip suara Mat  Sabu memberi taklimat kepada sekumpulan orang untuk  menjatuhkan imej Hadi. 


Tiada ulasan: