Khamis, 5 Mac 2015

Pelajar MRSM boleh mengunjungi gereja

 
Mara adalah pusat pengajian yang diwujudkan demi kemudahan pendidikan masyarakat Orang Asal dan Melayu oleh kerajaan untuk membantu mereka.


wilfred


TELUPID: Pelajar daripada masyarakat Orang Asal di Sabah tidak perlu takut untuk melanjutkan pengajian di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) kerana garis panduan yang tidak memihak kepada mereka selama ini, sudah ditarik balik.

Pemangku Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), Wilfred Madius Tangau, berkata selepas partinya dan beberapa pihak lain menyuarakan bantahan mereka terhadap garis panduan yang berpihak kepada pelajar agama Islam, ia sudah pun ditarik balik.

“Upko peka terhadap perasaan itu tetapi usah takut lagi,” katanya menambah Orang Asal perlu menggalakkan anak-anak mereka untuk belajar di MRSM.

Tangau berkata MRSM sebuah institusi akademik yang terbukti cemerlang dan mereka yang mendapat A dalam semua mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diberi biasiswa penuh untuk belajar di luar negara.

“Dalam satu majlis untuk pelajar di bawah biasiswa Mara di Amerika Syarikat tahun lalu, saya berasa sungguh kecewa kerana tiada seorang pun pelajar daripada Sabah di sana,” rungut beliau yang menggesa agar pelajar dan ibu bapa berusaha untuk merebut biasiswa yang disediakan.

Tangau yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata demikian selepas merasmikan Program Khidmat Masyarakat anjuran MRSM Tun Mohammad Fuad Stephens di Sandakan.

Katanya, MRSM Sandakan juga sudah secara terbuka mengeluarkan kenyataan bahawa ia tidak pernah mengamalkan diskriminasi agama di kolej mereka walaupun wujud garis panduan itu.

Mara adalah pusat pengajian yang diwujudkan demi kemudahan pendidikan masyarakat Orang Asal dan Melayu oleh kerajaan untuk membantu mereka.

Oleh itu beliau berharap isu garis panduan MRSM yang tersebar meluas di media sosial di mana ia melarang semua aktiviti mana-mana agama lain selain daripada Islam diadakan di kolej itu tidak akan wujud lagi.

Sebelum ini, wujud kebimbangan dalam kalangan ibu bapa sehingga enggan menghantar anak ke MRSM apabila institusi itu melarang pelajarnya menganut apa-apa kepercayaan lain agama selain agama Islam termasuk tidak boleh membawa masuk Bible.

Ia juga melarang penggunaan atau penayangan mana-mana simbol agama selain agama Islam di samping makanan tidak halal juga tidak dibenarkan masuk.

Selepas menjadi viral, Upko dan beberapa pihak lain membantahnya hingga garis panduan itu ditarik balik.

Timbalan Pengarah MRSM, Rizalmi Dahaman mengakui kewujudan garis panduan itu tetapi ia sudah tidak dilaksanakan malah, MRSM juga memastikan pelajar Kristian dapat mengunjungi gereja pada setiap hari Sabtu atau Ahad.

Tiada ulasan: