Selasa, 3 Mac 2015

Peguam, polis dituduh rasuah bebas warga asing

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Dua anggota polis berpangkat koperal dan seorang peguam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Shah Alam semalam atas tuduhan meminta dan menerima rasuah untuk 'membebaskan' lima wanita warga China yang dihukum berhubung kesalahan imigresen 19 Jan lepas.
 
Tertuduh pertama, Koperal Muhammad Haikal Kelvin Anderias, 30, yang berkhidmat di Mahkamah Klang didakwa memberi suapan wang tunai RM3,000 kepada seorang anggota polis berpangkat koperal untuk 'membebaskan' seorang tertuduh wanita warga China, Ren Zhi Rong yang dihukum berhubung kesalahan imigresen.
 
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 3.30 petang di tempat letak kereta Kompleks Mahkamah Klang 19 Jan lepas.
 
Tertuduh kedua, peguam B. Rajvinder Singh, 28, didakwa memberi suapan RM6,000 kepada tertuduh ketiga, Koperal Kasmi Kamary yang berkhidmat di Mahkamah Klang sebagai dorongan untuk 'membebaskan' empat wanita warga China yang dihukum berhubung kesalahan imigresen.
 
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 2.30 petang di lobi Kompleks Mahkamah Klang 19 Jan lepas.
 
Koperal Kasmi, 53, pula dituduh menerima rasuah RM6,000 daripada Rajvinder Singh bagi kesalahan sama.
 
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat, masa dan tarikh sama.
 
Kesemua mereka dituduh mengikut Seksyen 17 (a) dan (b) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
 
Hakim Datuk Noradidah Ahmad menetapkan jaminan sebanyak RM4,000, RM8,000 dan RM6,000 dengan seorang penjamin masing-masing bagi tertuduh pertama, kedua dan ketiga.
 
Beliau menetapkan 23 Mac depan sebagai tarikh sebutan kes bagi ketiga-tiga tertuduh.
 
Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya Nazrul Nizam Mohd Zameri, manakala tertuduh pertama dan kedua diwakili peguam BS Ananthan dan tertuduh ketiga peguam Aminuddin Mohd Ramli.

Tiada ulasan: