Selasa, 24 Mac 2015

PAS nafi beri tekanan pada Phahrolrazi

 Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Tidak ada sebarang tekanan diberikan PAS terhadap Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), Datuk Phahrolrazi Zawawi yang bertindak melepaskan kesemua jawatan di dalam parti Islam itu, sejak Sabtu lalu.
 
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Nasruddin Hassan Tantawi berkata, Phahrolrazi berkemungkinan mengambilkira saranan Majlis Syura Ulama PAS yang sebelum ini melarang kesemua ahli parti menyertai pertubuhan itu.
 
"Itu hak beliau, saya tidak mahu kata apa-apa. 
 
"(Tetapi) Bagi memastikan kestabilan dan keharmonian dalaman parti, pada saya nasihat Majlis Syura Ulama sudah cukup jelas dan diterima pakai oleh semua," katanya ketika ditemui di Dewan Rakyat, hari ini.
 
Phahrolrazi baru-baru ini mengumumkan untuk melepaskan kesemua jawatan yang dipegang di dalam PAS antaranya Yang Di-Pertua PAS kawasan Kuala Kedah dan Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kedah.
 
Bekas Exco Kedah itu berkata beliau hanya mahu menjadi ahli biasa bagi membolehkannya bergerak bebas tanpa melanggar sebarang perlembagaan parti Islam itu.
 
Tindakan itu diambil kononnya untuk memberi tumpuan meredakan pergolakan yang semakin menyerlah di dalam Pakatan Rakyat (PR), lebih-lebih lagi dalam hasrat PAS Kelantan untuk melaksanakan hudud.
 
PasMa ditubuhkan pada tahun lalu, ketika krisis jawatan Menteri Besar Selangor tercetus yang menyaksikan tentangan daripada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap usaha PKR mahu menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
 
PasMa menegaskan mahu menjadi pelobi utama PAS untuk kekal bersama PR.
 
Berikutan penubuhan NGO berkenaan, Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat mengeluarkan arahan kepada semua pemimpin dan ahli-ahli PAS supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti PasMa.
 
 

Tiada ulasan: