Selasa, 17 Mac 2015

Pakatan mahu Parlimen cela IGP

MALAYSIAKINI


 


Pakatan Rakyat akan mengemukakan usul di Parlimen untuk mencela Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar kerana menangkap seorang ahli Parlimen berhubung ucapan yang dibuat di dalam Dewan.

Ahli Parlimen PKR Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar ditangkap semalam atas dakwaan menghasut, berhubung ucapan bapanya yang juga ketua pembangkang yang dipenjara, yang dibaca Nurul di Dewan Rakyat minggu lepas.

Dalam satu kenyataan hari ini, Nurul Izzah berkata diharapkan ia dapat memupuk pemahaman kepada ketua polis itu mengenai konsep pengasingan kuasa di negara ini.

Pakatan akan membentangkan usul itu di bawah Seksyen 7 Akta Majlis Parlimen/Akta 347 (Keistimewaan dan Kuasa) 1952, katanya.

Seksyen 7 akta itu menyatakan bahawa tiada ahli Parlimen perlu bertanggungjawab terhadap sebarang prosiding sivil atau jenayah berhubung ucapannya di Dewan Rakyat

Nurul Izzah telah membaca ucapan ayahnya yang mengkritik hakim yang mensabitkannya atas tuduhan liwat pada 10 Februari, ketika membahaskan ucapan diraja.

Beliau juga telah ditangkap semalam berhubung perhimpunan Kita Lawan pada 7 Mac bagi solidariti bersama Anwar.


Tiada ulasan: