Isnin, 16 Mac 2015

Nurul Izzah ditahan kerana ucapan di Parlimen, kata peguam

 OLEH YASMIN RAMLAN


Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar (tengah) bercakap dengan wartawan di luar Balai Polis Dang Wangi hari ini sebelum ditahan polis. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 16 Mac, 2015. Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar (tengah) bercakap dengan wartawan di luar Balai Polis Dang Wangi hari ini sebelum ditahan polis. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli.  



Peguam PKR R Sivarasa berkata Nurul Izzah Anwar hari ini ditahan mengikut Akta Hasutan berdasarkan ucapannya di Parlimen dan bukannya perhimpunan #KitaLawan.

Menurut ahli Parlimen Subang itu, pihak polis tidak akan menahan reman anak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

"Kalau ikutkan siasatan dijalankan atas Akta Hasutan berdasarkan ucapan di Parlimen.


"Bila saya tanya ASP Muniandy siapa yang buat keputusan, dia (ASP Muniandy) kata bukan saya, ini bos saya di Bukit Aman," katanya. Sivarasa berkata buat masa sekarang, beliau masih tidak mengetahui siapa orang atasan yang dimaksudkan ASP Muniandy itu.

"Jadi kita tidak tahu siapa bos itu tetapi itulah kedudukan sekarang. Itulah maklumatnya," katanya.

Katanya Nurul Izzah ada juga membuat keterangan berkenaan perhimpunan #KitaLawan, namun beliau ditahan kerana ucapannya di Parlimen.

Beliau juga mengulas mengenai imuniti ahli Parlimen dengan berkata pendirian sebagai ahli Parlimen perlu ada kekebalan untuk apa yang diperkatakan di Dewan Rakyat.

"Jangan cakap lagi negara kita negara demokrasi.

"Jadi pasukan dari pada Bukit Aman yg diketuai oleh ASP Muniandy sekarang menahan Nurul Izzah yang sekarang ini berada di tingkat 9 dan mereka sekarang ini dalam proses mendokumentasikan kenyataan. Jadi saya minta semua penyokong sabar. Kita tunggulah tindakan mereka," katanya.

Terdahulu, ahli Parlimen Lembah Pantai itu diarahkan memberikan keterangan di balai polis berkenaan.

Menerusi akaun Twitternya @n_izzah, Nurul Izzah berkata: "ASP Muniandy memaklumkan saya ditangkap di bawah arahan Dt Azam, Ketua Penolong Pengarah D5, Bkt Aman."

Nurul Izzah pada jam 2.30 petang tadi memberitahu pemberita polis memberikan notis kepadanya untuk memberi keterangan berkaitan Seksyen 4(1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Apa yang mengejutkan ialah kehadiran ASP Muniandy serta 2 kereta pihak polis pada Jumaat lepas di kediaman ayahanda saya di Segambut," katanya.

Tiada ulasan: