Ahad, 8 Mac 2015

Nik Nazmi ditangkap kerana 'Kita Lawan'

MALAYSIAKINI


 


Exco kerajaan Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad ditahan polis selepas hadir ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur hari ini.

“(Beliau) dibawa ke balai polis Jinjang, akan ditahan reman hingga esok,” kata Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil melalui Twitter.

Nik Nazmi ditahan bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (PAA) dan Seksyen 143 Kanun Keseksaan berkaitan perhimpunan haram.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia itu pagi ini hadir untuk memberi keterangan berhubung perhimpunan setiakawan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu negara semalam.

Peguamnya Melissa Sasidaran (kanan) berkata Nik Nazmi ditahan pada jam 12.20 tengah hari tadi kerana gagal memberikan notis 10 hari sebelum demonstrasi “Kita Lawan”, seperti diperuntukkan dalam PAA.

Sementara itu, isteri beliau Imaan Abdul Rahim berkata sudah menjangkakan tangkapan akan dibuat ke atas suaminya.

“Ini sudah dijangka, kini kita mendoakan yang terbaik,” kata  isteri kepada ketua Pemuda PKR (AMK) itu.

Semalam pemimpin AMK Saifullah Zulkifli turut ditahan polis di Masjid Jamek, Kuala Lumpur.

Ribuan orang hadir dalam perhimpunan di ibu negara semalam bagi menyatakan setiakawan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipenjara di Sungai Buloh atas kesalahan meliwat. 


Tiada ulasan: