Isnin, 16 Mac 2015

Najib anggap percutian urusan rasmi, khianat duit pembayar cukai

anthonyloke

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: DAP menuntut penjelasan terperinci mengenai percutian yang dianggap urusan rasmi oleh Perdana Menteri Najib Tun Razak ketika beliau ke Hawaii untuk bermain golf bersama Presiden Amerika Syarikat Barack Obama.

Ekoran tidak menjawab soalan kenapa jet rasmi dirakam FlightRadar24 singgah di Indianapolis, Los Angeles, New York, London, Dubai dan Bangkok sewaktu beliau meninggalkan Hawaii menggunakan pesawat TUDM.. Najib dilihat cuba menyembunyikan fakta di Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke menyifatkan penyembunyian fakta terhadap perjalanan kapal terbang rasmi model Airbus ACJ 319 ke beberapa buah negara itu sebagai ‘dasar baru’ kerajaan.

“Persoalannya, kenapa Najib tak naik kapal terbang rasminya untuk pulang dari Hawaii selepas main golf dengan Obama?

“Dan kenapa kapal terbang itu pergi ke beberapa negara lain tidak pernah dijelaskan.

“Apa tujuan kapal terbang itu pergi ke London, Dubai dan Bangkok?” soal Anthony yang juga Setiausaha Organisasi DAP.

Beliau turut mempersoalkan siapa yang berada di dalam pesawat tersebut ketika Perdana Menteri tidak menggunakannya untuk pulang ke tanah air.

“Semua maklumat ini tak pernah dinafikan Pejabat Perdana Menteri.

“Namun siapa yang berada dalam pesawat tersebut dan mengapa ia terbang ke destinasi itu tak pernah dijelaskan,” ujar Anthony lagi.

Tahun lalu, media tempatan dan antarabangsa melaporkan penerbangan tersebut dinaiki isterii Perdana Menteri, datin Seri Rosmah Mansor untuk membeli-belah di bandar-bandar di mana tempat kapal terbang itu mendarat.

‘Shahidan jadi posmen’

Pada 10 Mac lalu, Anthony gagal mendapat jawapan berhubung butiran kos ditanggung kerajaan bagi penerbangan ke Amerika Syarikat menggunakan pesawat eksekutif tersebut, dan masih belum jelas sama ada statusnya sebagai percutian atau urusan rasmi.

“Shahidan (Menteri di JPM) kata, pesawat itu digunakan untuk tujuan rasmi Najib, dan segala kos berdasarkan had kelayakan Perdana Menteri itu.

“Ini penjelasan yang mengecewakan. Dia langsung tak jawab apa urusan rasmi tersebut. Mula-mula dilaporkan sebagai bercuti, kemudian kata urusan rasmi pula.

“Shahidan sudah jadi posmen Najib, tanpa apa-apa perincian terhadap segala persoalan yang diajukan.

“Sekurang-kurangnya zaman Nazri Aziz dulu, menteri itu beritahu semua perincian kos jika ditanya dalam parlimen,” ujar Anthony membandingkan dua menteri UMNO.

Jelas Anthony, perkembangan ini membimbangkan, seolah-olah ada ‘‘dasar baru’’ dalam kerajaan yang tidak mahu bersikap telus terhadap apa-apa pertanyaan.

“Dalam era Najib, mereka sudah amal satu dasar baru. Dasar ‘tak akan beritahu’ dan ‘tak akan jawab apa-apa’ soalan dari ahli parlimen.

“Era pentadbiran Najib juga tak pisahkan antara urusan rasmi dan percutian. Percutian PM juga harus ditanggung pembayar cukai.

“Ini tak boleh diterima, apa had kelayakan PM? Adakah ia seperti ‘blind cheque’ yang boleh digunakan sesuka hati?

“Pembaziran wang rakyat ini harus dihentikan, dan rakyat mestii bangkit tuntut ketelusan dari Najib,” tegas Anthony lagi. – Roketkini.com


Tiada ulasan: