Khamis, 5 Mac 2015

MP: Juruaudit sembunyi sesuatu untuk 1MDB?

MALAYSIAKINI


 


MP DAP Petaling Jaya Tony Pua mempersoalkan sama ada firma audit KPMG telah membantu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) untuk menutup sesuatu dalam perjanjian usaha sama kontroversi dengan PetroSaudi International (PSI).

Pua yang juga ketua DAP Selangor berkata hal itu berdasarkan dokumen baru berkaitan perjanjian yang didedahkan oleh Sarawak Report semalam.

Beliau berkata dokumen tersebut mendedahkan bahawa KPMG telah menutup penyata kewangan firma pelaburan itu berakhir 31 Mac 2010, walaupun dokumen itu menggunakan tarikh yang dikebelakangkan

Pua berkata penyata kewangan menunjukkan 1MDB terlibat dalam usaha sama dengan PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd pada 28 September 2009, yang dijayakan melalui 1MDB PetroSaudi Ltd.

Bagaimanapun, usahasama itu diketepikan dan pelaburan 1MDB sebanyak AS$1 bilion (RM3.656 bilion) dalam perjanjian itu kemudiannya ditukar kepada nota-nota Murabaha bernilai AS$1.2 bilion (RM4.387 bilion, sebagai pinjaman kepada 1MDB PetroSaudi Ltd) pada 31 Mac 2910.

Bagaimanapun Pua menyatakan bahawa berdasarkan kepada dokumen yang dibocorkan oleh Sarawak Report, pertukaran perjanjian Murabaha sebenarnya bertarikh 14 Jun 2010.

KPMG enggan ulas

Ketika dihubungi Malaysiakini melalui e-mel, KPMG enggan mengulas berhubung dakwaan Pua itu.

“Sila ambil perhatian bahawa pihak kami tidak dapat mengulas perkara ini kerana melibatkan kerahsiaan pelanggan dan keperluan sebuah badan profesional,” kata seorang jurucakapnya.

Tiada ulasan: