Jumaat, 6 Mac 2015

Mengendalikan Insiden MH370 Pengalaman Yang Memeritkan - Tiong Lai


MSTAR ONLINE


Liow Tiong Lai
 
 
PUTRAJAYA: Mengendalikan insiden kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 menjadi pengalaman yang amat memeritkan untuk ditanggung Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

"Perasaan saya adalah ia amat memeritkan," kata Tiong Lai yang mengambil alih tugas sebagai peneraju ketika siasatan sedang berjalan daripada Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein setelah dilantik sebagai menteri yang memegang portfolio itu pada 25 Jun tahun lepas.

Hishammuddin menyandang portfolio pengangkutan buat sementara setelah jawatan itu kosong selepas Pilihan Raya Umum ke-13.

Tiong Lai dirundung emosi malah sejak hari pertama insiden terbabit semasa beliau bertemu waris mereka yang berada di dalam penerbangan itu, di Anjung Tinjau, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 8 Mac, yang diselubungi suasana menyayat hati.

"Saya berada di sana (di Anjung Tinjau) pada hari pertama atas sifat saya sebagai Presiden MCA dan menzahirkan keprihatinan saya terhadap insiden ini.

"Malah pada hari pertama lagi ia amat memeritkan untuk menerima bahawa sebuah kapal terbang telahpun hilang dan saya dapat memahami perasaan waris mereka," katanya di sini, Jumaat ketika ditanya pengalaman peribadi beliau dalam mengendalikan insiden berkenaan, pada sidang media bersempena ulang tahun pertama kehilangan pesawat itu.

Penerbangan MH370 yang membawa 12 kru dan 227 penumpang, hilang daripada paparan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA pada 8 Mac. Ia dijadual tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Tiong Lai turut mengimbas semula pertemuan beliau dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari pertama dilantik sebagai Menteri Pengangkutan.

"Perkara pertama yang beliau maklumkan kepada saya adalah tugas sulung saya untuk membantu negara ini mencari MH370, menggunakan apa juga hubungan dan sumber yang saya ada, dan pergi ke China, Australia dan dapatkan bantuan antarabangsa," katanya sambil mengenang kembali amanah yang dipertanggungjawabkan itu.

"Saya terbang di China, pergi ke Australia, kemudian ke Amerika Syarikat untuk menghadiri mesyuarat majlis ICAO (Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa) dan mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan Asean. Kami turut mendapatkan bantuan dunia untuk sama-sama mencari MH370," katanya, sambil berikrar untuk terus berusaha keras.

Tiada ulasan: