Himpunan #KitaLawan haram Himpunan #KitaLawan di hadapan Sogo, 28 Februari lalu.
 
 
 
KUALA LUMPUR - Setiap kali puak pembangkang menganjurkan perhimpunan tanpa permit, lokasi yang dipilih pastinya bermula di pekarangan pusat membeli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman (Tar).
  
Ia kemudian merebak meliputi kawasan berhampiran iaitu Jalan Masjid India hinggakan ke Dataran Merdeka, Pasar Seni dan Masjid Negara.
  
Terbaharu, perhimpunan haram anjuran penyokong Ketua Pembangkang, yang diadakan bagi menyatakan bantahan terhadap hukuman penjara ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim, juga dijalankan di lokasi sama. 
  
Ketua Angkatan Muda Keadilan Nik Nazmi Nik Ahmad mendakwa pemilihan Sogo sebagai lokasi himpunan kerana ia adalah tempat awam terbaik bagi meluahkankebebasan bersuara.
  
Persoalannya mengapa mesti tiap kali Jalan Tar yang sempit itu menjadi pilihan? Adakah hanya di kawasan itu sahaja suara mereka boleh didengari, tempat lain tidak?

Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Abdul Halim Sidek berpendapat Jalan Tar sengaja dipilih bagi memperlihatkan sesuatu perhimpunan itu kononnya mendapat sambutan luar biasa kerana pada hari minggu, Sogo dan kawasan sekitar sememangnya sesak dengan orang ramai yang keluar untuk membeli-belah.
  
"Jalan TAR sering menjadi tumpuan orang Melayu sama ada untuk membeli-belah atau juga bekerja, jadi secara tidak langsung sesuatu perhimpunan itu akan kelihatan disokong oleh pelbagai lapisan orang terutamanya Melayu... sedangkan mereka memang berada di situ (untuk tujuan lain)," katanya ketika dihubungi Bernama.
  
Beliau berkata, meskipun ibu negara mempunyai lokasi membeli-belah lain seperti Bukit Bintang, ia tidak menjadi pilihan kerana lokasi itu lebih dipenuhi pelancong dan warga asing.
  
"Kalau di tempat lain, mereka tidak dapat perhatian atau simpati yang mereka harapkan... mereka mahukan kawasan yang majoriti orang tempatan untuk mencari simpati.
  
"Jadi pastinya mereka akan ke lokasi yang paling ramai, paling sibuk dan padat meskipun tindakan itu menyusahkan dan menganiaya pelbagai pihak," katanya.
     
Tidakkah pembangkang, yang mendakwa berjuang demi rakyat, mempunyai rasa bersalah dan empati terhadap kesusahan rakyat yang terkesan akibat sikap mereka?

Abdul Halim menyifatkan demonstrasi yang dijalankan pembangkang, bukan sahaja mementingkan diri tetapi juga menafikan hak orang lain untuk mencari rezeki dan bersantai.
  
Beliau berkata, setiap kali penganjuran perhimpunan haram, para peniaga terpaksa menutup premis perniagaan mereka, menyebabkan terpaksa menanggung kerugian besar.
  
Presiden Batu Road Retailers Association (Barra) Datuk V.K. Liew berkata perhimpunan haram itu menyebabkan hampir 100 peniaga menutup premis perniagaan dengan kerugian RM10 juta. 
  
Dalam perhimpunan Gerakan Mansuh ISA pada Ogos 2009, dilaporkan kerugian yang dialami para peniaga serta kerosakan harta benda ekoran perhimpunan haram di kawasan berkenaan, dianggarkan kira-kira RM200 juta.
  
Abdul Halim berkata, tindakan pembangkang juga menganiaya golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang mencari rezeki dengan bermain muzik di sekitar Jalan Tar dan juga di hadapan Sogo serta mengganggu aliran trafik.
  
"Mereka bertindak seolah-olah mempunyai kuasa hebat, sekiranya pemerintah tidak mendengar cakap mereka, mereka boleh mencacatkan hari tersebut serta kenakan kesusahan kepada rakyat," katanya.
    
Pembangkang seharusnya berpolitik secara matang.

Abdul Halim berkata ada cara lain untuk pembangkang menyatakan ketidakpuasan hati tanpa menyusahkan orang awam, termasuklah dengan menyuarakan di Parlimen.
  
"Ada cara perundingan, mereka boleh buat petisyen... mereka juga ramai wakil rakyat yang boleh suarakan di Parlimen malah Selangor di bawah kuasa mereka, mereka boleh bangkitkan dalam Dun.
  
"Kenapa perlu bangkitkan di tepi jalan? Kenapa cara yang ternyata menyusahkan dan menyulitkan pelbagai lapisan masyarakat itu yang dipilih," katanya.
  
Beliau berkata, semua pihak mempunyai hak untuk berkumpul, namun mereka perlu memohon permit terlebih dahulu dan pembangkang enggan berbuat demikian kerana lokasi yang dipilih pasti tidak dipersetujui oleh pihak polis.
  
"Apabila Ketua Polis Daerah menerima permohonan, beliau akan meneliti kawasan yang jauh dari perumahan awam dan pusat perniagaan bagi memastikan perhimpunan itu tidak menjejaskan pendapatan dan harta benda awam, seperti di padang atau stadium.
  
"Jadi apabila mereka adakan juga di lokasi yang boleh menjejaskan orang awam, secara terang ia tidak punya permit atau langsung tidak memohon permit... kemudian tuduh kerajaan tidak beri peluang untuk bersuara," katanya.
  
Abdul Halim berkata, pihak berkuasa perlu lebih tegas bagi memastikan tiada pihak-pihak sengaja melanggar undang-undang kerana penganjuran perhimpunan haram jelas melanggar undang-undang negara, antaranya Akta Perhimpunan Aman 2012, Seksyen 143 Kanun Keseksaan dan Akta Polis 1967.
  
"Mereka berani (mengadakan perhimpunan haram) kerana penguatkuasaan kita tidak tegas... kalau tidak mohon permit pun, polis tidak akan buat apa-apa.
  
"Orang yang langgar kesalahan trafik pun terus mendapat saman, mengapa tidak mereka yang buat perhimpunan turut diambil tindakan tegas agar mereka tidak sewenang wenang melanggar undang-undang negara?," katanya. – Bernama