Isnin, 30 Mac 2015

Melanggar persepsi kontroversi hudud



Oleh Timmy Say


Cakap-cakap 1: Asal-usul Pakatan Rakyat

Mengikut sejarah, sejak penubuhan PKR selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjara pada 1998, PAS dan PKR sudah menjalin kerjasama politik.

Hubungan PAS-PKR tidak pernah putus sehingga hari ini. Ini tidak seperti DAP yang memutuskan hubungan dengan Barisan Alternatif pada 2001.

Pada 2007, ketika kempen "Asal Bukan Umno" mendapat sambutan meluas, DAP tetap membuat deklarasi bahawa mereka tidak akan bekerjasama dengan PAS, meskipun PAS dan PKR sudah bekerjasama.

“Kita terima agama Islam adalah agama rasmi negara tetapi kita tidak akan bekerjasama dengan PAS untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam” – itulah kata-kata mendiang Karpal Singh pada 25 Januari 2007

Setelah menang 5 negeri di 2008, barulah Pakatan Rakyat (PR) dibentuk dengan gabungan PAS-PKR bersama DAP untuk mentadbir Selangor, Pulau Pinang dan Perak.

Cakap-cakap 2: PAS sudah berjanji membuang hudud apabila masuk PR

PAS tidak pernah membuat deklarasi tidak lagi memperjuangkan Islam dan terus berpegang pada dokumen dasar bersama PR yang hanya melibatkan perkara dipersetujui bersama.

Dokumen itu dibentangkan pada Konvesyen PR pertama iaitu pada 19 Disember 2009, 21 bulan selepas kemenangan besar PRU13.

Perbezaan antara tiga parti hanya diketepikan seperti yang disebut Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika konvesyen pertama - “Dahulukan perkara yang disepakati dan mengambil masa dengan sabar dalam perkara yang masih berbeza".

Oleh itu, perbezaan antara tiga parti hanya ditangguhkan perbincangan dan bukan dibuang ke dalam tong sampah, sebagaimana ada yang percaya bahawa PAS berjanji melupakan hasrat memperjuangkan hudud selepas bersama PR.

Cakap-cakap 3: Hudud memecahkan PR?


Mereka yang memperjuangkan hudud, iaitu PAS, jarang menyebut untuk keluar daripada PR. Malah, mereka rayu agar diberi ruang demokrasi yang merupakan hak kerajaan memerintah di Kelantan untuk membawa usul hudud ini mengikut peruntukan yang diberikan perlembagaan negara. PAS tidak menghalau mereka yang tidak bersetuju dengan hudud untuk keluar daripada PR. Sebaliknya mereka meraikan perbezaan ini dengan prinsip bersetuju untuk tidak bersetuju.

Mereka yang membantah hudud dibentangkan di Kelantan pula selalu mendesak agar PAS dikeluarkan daripada PR jika inginkan hudud atau membuat deklarasi bahawa PR akan mati jika PAS Kelantan membentangkan hudud.

Apakah tidak benar kalau ada orang mengatakan bahawa mereka yang menentang hudud ini sebenarnya yang ingin memecahkan PR, kerana mereka yang memperjuangkannya jarang menyebut ingin PR berpecah?

Cuma terfikir, kalau setakat cadangan membuat pembentangan pun sudah mendapat reaksi sekeras ini, bayangkan jika benar hudud dapat dilaksana nanti, apakah ada yang akan menyarankan agar PAS dan Kelantan keluar Malaysia?

Cakap-cakap 4: PAS ditipu Umno?


Ada Umno atau tidak, PAS tetap tidak akan berganjak daripada cita-citanya.

Umno bergembira selama ini kerana DAP tidak putus-putus mengumumkan PR akan berpecah sekiranya PAS bertegas dengan cita-citanya. Kerana itu, Umno betul-betul yakin PR akan pecah jika PAS terus memperjuangkan hudud.

Namun begitu, apa yang dijangka Umno itu tidak betul. PR tetap tidak pecah meskipun nampak sangat goyah.

Hadiah yang dinanti-nantikan Umno iaitu negeri Selangor, tetap ditadbir seperti biasa. PR berjalan seperti biasa di Selangor. Meskipun di peringkat pusat, PR bergaduh, tetapi Selangor tetap menjadi pengikat ketiga-tiga parti bersama.

Pendeknya, PR tetap enggan berpecah. Ini menyebabkan bola ini kembali kepada Umno dan Najib. Tetiba mereka pula yang tersepit dengan soalan, “Kamu sokong hudud ke tak?”

Yang bagusnya, persoalan ini sudah selesai di kalangan PR. PAS sokong, DAP tidak sokong dan PKR masih samar-samar pendirian sebenar mereka. Tapi mereka tak pecah, negeri Selangor ditadbir seperti tiada apa yang berlaku.

Umno pula macam mana? Siapa yang kena tipu akhirnya? Cuba renungkan

Tiada ulasan: