Isnin, 9 Mac 2015

MCA Johor sedang kenal pasti calon PRU-14

MALAYSIAKINI


 


MCA Johor telah mula mengorak langkah awal untuk mengenal pasti calon-calon berwibawa yang boleh mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.
  
Pengerusinya, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata kesemua 17 bahagian telah dipanggil untuk menyenaraikan senarai calon berkenaan kira-kira dua minggu sebelum Tahun Baru Cina baru-baru ini.
  
Bagaimanapun difahamkan seorang daripada 17 pemimpin bahagian tidak dapat hadir kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.
  
"MCA Johor kini sedang dalam proses mengenal pasti siapakah bakal calon kita nanti dan kita telah berbincang mengenai soal itu. Yang penting calon itu mesti yang bermaya, bertenaga, berkaliber, berwibawa, imej yang baik dan diterima baik masyarakat setempat," katanya selepas  Majlis Jamuan Rakyat sempena Sambutan Tahun Baharu Cina Daerah Muar, Ledang dan Bakri di Muar, malam tadi.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan pemimpin MCA tempatan.
  
Wee yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden MCA itu berkata lebih penting lagi calon berkenaan boleh menjadi "juara rakyat" dalam menangani isu di tempat masing-masing.
  
"Selain calon, kaedah yang kita guna di setiap lokaliti itu berbeza bagaimana untuk menarik sokongan masyarakat Cina terhadap Barisan Nasional terutama di tempat yang kita tewas," katanya.
  
Beliau berkata ketika ini pihaknya tidak boleh mengumumkan peratusan  calon muda dan lama yang akan diketengahkan itu itu dan ia akan diumumkan bila tiba masanya nanti.
  
Ketika ditanya sokongan masyarakat Cina terhadap BN ketika ini, Wee berkata sokongan kini semakin baik dan masyarakat sudah mengetahui mereka tertipu dengan dakyah pembangkang pada PRU lalu.

"Untuk apa lagi masyarakat Cina untuk menyokong pembangkang yang kini mula berpecah dan tidak sehaluan lagi," katanya.
  
Sementara itu ketika berucap, Mohamed Khaled mahu masyarakat Cina di negeri itu agar bersama-sama kerajaan negeri untuk membantu membangunkan Johor dengan lebih gemilang.
  
"Kerajaan negeri akan selesaikan semua masalah yang dibangkitkan masyarakat Cina dan yang penting marilah kita bersatu dalam semua perkara,"  katanya.-Bernama


 

Tiada ulasan: