Hannah Yeoh Tseow Suan Hannah Yeoh Tseow Suan
 
 
 
SHAH ALAM - Masa depan PR bakal ditentukan oleh ahli Pas yang akan membuat pemilihan pucuk pimpinan bagi penggal baharu dalam muktamar parti itu menjelang Jun ini.

Pengerusi Wanita DAP Selangor, Hannah Yeoh berkata, beliau meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada ahli Pas untuk membuat keputusan yang betul agar perjuangan dalam PR dalam diteruskan.

"Ujian kita sekarang adalah untuk melihat pimpinan kedua di kalangan PR dan kita mesti menunjukkan kepada rakyat bahawa kita memang mempunyai persahabatan dan perjuangan yang benar, bukan sahaja di peringkat pimpinan tertinggi sahaja, tetapi kepimpinan di peringkat kedua, kita masih boleh berjuang bersama.

"Saya berani berkata bahawa masa depan PR terletak di dalam tangan Muktamar Pas yang akan berjalan nanti. Saya percaya kawan-kawan dari Pas akan membuat keputusan yang betul untuk terus memperjuangkan PR," katanya pada Ceramah Perdana anjuran Pas Shah Alam, di sini, semalam.

Beliau berkata, setiap parti komponen dalam PR memerlukan antara satu sama lain untuk membentuk sesebuah kerajaan dan tanpa salah satunya kerajaan PR sedia boleh tumbang.

"Jangan kita bersikap angkuh memikirkan kalau tiada Pas kita boleh akan terus jadi kerajaan, kalau tiada DAP kita akan terus jadi kerajaan, itu tidak boleh, kita memerlukan satu sama lain," katanya lagi.

Pemilihan Jawatankuasa Pas Pusat akan diadakan setiap dua tahun dan bagi pemilihan jawatan peringkat pusat kali ini akan diadakan pada Muktamar Tahunan Pas ke-61 yang dijangka pada 1 Jun ini.

Semua Pas bahagian diberi masa mengadakan mesyuarat agung tahunan bermula 1 Mac sehingga 21 April ini dan seterusnya membuat pencalonan bagi 27 jawatan peringkat pusat kepada Jawatankuasa Pemilihan Pas Pusat bagi sesi 2015/2017.

Antara jawatan tertinggi parti itu yang menjadi perhatian umum ialah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang bakal dicabar susulan dakwaan wujudnya gerakan dalaman untuk menjatuhkan beliau.