Ahmad Jauhari Yahya Ahmad Jauhari Yahya. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
 
 
 
MALAYSIA Airlines (MAS) menghantar data penerbangan pesawatnya kepada pusat kawalan melalui Sistem Komunikasi dan Laporan Pesawat (ACARS), lima minit lebih kerap daripada tempoh baharu yang tetapkan mengikut standard baharu antarabangsa.   

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata langkah itu diambil bagi membolehkan syarikat berkenaan mengesan  kedudukan pesawatnya dengan lebih kerap.   

Katanya berikutan kehilangan MH370 pada 8 Mac tahun lepas, Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) menetapkan setiap pesawat perlu menghantar data penerbangannya kepada pusat kawalan pada kekerapan setiap 15 minit.   

"MAS menetapkan sesetengah pesawatnya perlu menghantar data penerbangan masing-masing pada kekerapan setiap 10 minit," kata beliau dalam temu bual dengan Bernama bersempena ulang tahun pertama kehilangan MH370 yang masih diselubungi misteri.   

Beliau berkata ACARS adalah sistem komunikasi pesawat yang memancarkan data penerbangan, termasuk kelajuan, halaju, arah tuju dan lokasinya kepada sistem kawalan syarikat penerbangan melalui satelit.   

"Pengajaran paling utama yang kami peroleh ialah kami perlu mengetahui lokasi dan kedudukan pesawat kami dengan lebih baik. Saya rasa, kami sudah melakukan perkara ini," kata beliau.‎ 

Ahmad Jauhari berkata kekerapan setiap 10 minit itu terpakai bagi semua pesawat Airbus MAS yang menggunakan kod A380 dan A330 serta pesawat Boeing 738 kepunyaannya.   

Sementara itu, bagi semua pesawat Boeing 777 MAS, kekerapan bagi penghantaran data penerbangan ialah setiap 15 minit, katanya.   

Mengenai program latihan untuk juruterbang MAS, Ahmad Jauhari berkata pada masa ini, tiada keperluan bagi syarikat penerbangan itu untuk melakukan semakan semula memandangkan program sedia ada sudah cukup ketat dan komprehentif.    

MH370, yang membawa 12 anak kapal dan 227 penumpang, hilang daripada skrin radar ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam selepas meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 8 Mac. Ia dijadualkan tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.  

Pada 29 Januari lalu, Kerajaan Malaysia mengisytiharkan kehilangan pesawat itu sebagai suatu kemalangan mengikut peraturan penerbangan antarabangsa dan  kesemua 239 penumpang serta anak kapalnya dianggap meninggal dunia.

Usaha mencari pesaswat itu masih diteruskan di kawasan terpencil di Lautan Hindi, kira-kira 2,500km dari pantai Perth, Australia. - Bernama