hudud
 
 
 
KUALA LUMPUR - Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah 11, 1993 di Dewan Undangan Negeri Kelantan, hanya terpakai kepada orang Islam dan tidak melibatkan orang bukan Islam.

Sehubungan itu kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu, orang bukan Islam tidak perlu gusar dengan pelaksanaan undang-undang tersebut.

"Pas dan kerajaan Kelantan mengikut landasan demokrasi dalam proses melaksanakan Undang-Undang Syariah ini dengan memberikan ruang yang seluasnya kepada Adun untuk berbahas, menyokong dan membantah enakmen ini.

"Bahkan, pihak-pihak ini telah mengambil kira pandangan orang ramai demi menjamin hak asasi bukan Islam dengan memberikan pengecualian kepada mereka daripada dikenakan Undang-Undang Syariah itu nanti.

"Jelas pihak-pihak ini tidak pernah memekakkan telinga daripada mendengar teguran dan kritikan untuk penambahbaikan enakmen ini," katanya dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Oleh itu, katanya adalah amat hairan dan pelik bagi pihak tertentu yang berterusan ingin menghalang proses demokrasi ini berlangsung.

"Mereka yang melaungkan slogan perjuangan hak asasi dan demokrasi sepatutnya mempraktikkan apa yang mereka kata itu dengan menjadi pejuang demokrasi yang tulen.

"Bukannya menjadikan demokrasi itu milik eksklusif mereka sahaja. Pihak lain sepatutnya menghormati proses demokrasi yang sedang berlangsung ini,"ujarnya.

Hari ini, Dun Kelantan meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015.

Menurut laporan, kesemua 44 anggota dewan meluluskan sebulat suara rang undang-undang berkenaan yang hanya terpakai kepada orang Islam mukallaf sahaja apabila ia dilaksanakan kelak di negeri itu.

Kesemua 12 anggota dewan daripada BN turut menyokong rang undang-undang itu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Enakmen pindaan Kanun Syariah II diluluskan]

Turut menyokong, kesemua 31 anggota dewan daripada Pas dan seorang Adun Guchil dari PKR, Mohamad Roslan Puteh.