Salahuddin Ayub Salahuddin Ayub



SHAH ALAM - Peluang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong mungkin tipis apabila seorang pemimpin tertinggi Umno menganggotai Lembaga Pengampunan.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, harapan keluarga Anwar bakal berkecai apabila mendapati salah seorang anggota lembaga tersebut adalah Menteri Wilayah Persekutuan iaitu Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Ku Nan).

"Itulah harapan terakhir (petisyen pengampunan) keluarga beliau (Anwar), tapi bila tengok dalam lembaga (pengampunan) itu ada Ku Nan, apalah lagi ada harapan bagi mereka.

"Dalam soal kehakiman, keadilan, mahkamah, kita tiada pilihan, itulah hakimnya, itulah mahkamahnya, kalau ada mahkamah dan hakim swasta, kita lama sudah boleh mendapatkan bayaran, tak apalah asalkan kita dapat keadilan untuk diri kita dan masa depan kita," katanya pada Ceramah Perdana anjuran Pas Shah Alam, di sini, semalam.

Menurut Perkara 42 (5) Perlembagaan Persekutuan, Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan bagi setiap Negeri hendaklah terdiri daripada Peguam Negara, Ketua Menteri Negeri itu dan tidak lebih daripada tiga orang anggota lain hendaklah dilantik oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri.

Mereka yang menganggotai Lembaga Pengampunan itu adalah Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor dan tiga lain yang dilantik Agong atas syor perdana menteri.

Lembaga Pengampunan di bawah fasal ini kecuali bahawa sebutan mengenai ‘Raja atau Yang di-Pertua Negeri’ hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Yang di-Pertuan Agong dan sebutan mengenai ‘Ketua Menteri Negeri itu’ hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.