Khamis, 26 Mac 2015

Larang pamer salib: PKR tunggu jawapan MARA

MALAYSIAKINI


 


Majlis Amanah Rakyat (MARA) masih belum menjawab surat daripada PKR Sarawak tahun lepas yang mahu tahu sama ada peraturan melarang kegiatan bukan Islam di semua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) ditarik balik.

Surat itu dihantar ekoran aduan daripada ibu bapa Kristian bahawa anak mereka dilarang memakai atau mempamerkan salib dan lambang Kristian termasuk Bible di sekolah itu.

Pelajar bukan Islam di sekolah itu juga dikatakan perlu mendapatkan kebenaran untuk hadir kegiatan keagamaan di luar kampus.

“Saya tidak terima sebarang jawapan daripada MARA.

“Boleh jadi mereka sudah tarik balik peraturan itu atau cuba sembunyikan sesuatu,” kata ketua PKR Sarawak Baru Bian dalam sidang media semalam.

Baru Bian (kanan), yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’Kelalan, sebelum ini mengugut untuk menyaman MARA.

Beliau mendakwa tindakan maktab itu bertentangan dengan perlembagaan kerana MRSM bukan sebuah institusi agama dan terbuka kepada pelajar bukan Islam.

Pengetua MRSM Betong sebelum ini berkata mereka tidak mengamalkan diskriminasi terhadap pelajar.

Bagaimanapun, pengetua sekarang mengakui larangan itu berlaku.

Kontroversi itu terkandung dalam peraturan nombor sembilan buku panduan MRSM untuk pelajar baru yang menyebut bahawa kesemua kegiatan keagamaannya kecuali Islam.

Peraturan itu juga melarang lambang keagamaan bukan Islam dipamerkan.


Tiada ulasan: