Jumaat, 6 Mac 2015

Laporan: Najib dijangka 'tumbang' lebih awal

MALAYSIAKINI


 


Datuk Seri Najib Abdul Razak, yang kini dihimpit pelbagai kontroversi, dijangka berundur daripada kerusi perdana menteri lebih awal daripada tempoh setahun yang diramalkan, lapor The Economist.

Laporan itu muncul susulan kontroversi demi kontroversi yang semakin berlarutan melanda kepemimpinan beliau, khususnya hutang syarikat pelaburan nasional 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

"Beberapa pihak merasakan bahawa musuh beliau dalam Umno - sekarang dikatakan menyokong Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin - perlu menunggu setahun lagi untuk mendapat sokongan penuh untuk mencabar kepimpinan.

"Tetapi mereka boleh memilih bergerak lebih awal daripada itu," lapor mingguan niaga berpengaruh itu lagi.

Menurut The Economist lagi, desas-desus pergolakan dalam kerajaan mula mengendur Rabu lalu apabila Pejabat Perdana Menteri menyatakan kabinet yakin 1MDB tidak melalukan sebarang salah laku.

Kenyataan ini dikeluarkan selepas kabinet memanggil 1MDB dan syarikat yang mengauditnya, Deloitte, menjelaskan urus niaganya.

Perdana menteri juga mengarahkan Jabatan Audit Negara menyiasat akaun 1MDB dan bertegas akan mengambil tindakan jika wujud sebarang salah laku.

"Bagaimanapun, perdana menteri berada dalam kedudukan nyawa-nyawa ikan sejak pilihan raya umum 2013," laporan majalah dipetik.

Popularitinya juga menurun kepada 44 peratus, kedudukan kedua terendah sejak beliau mengambil alihan jawatan tertinggi itu pada 2009.

1MDB berhutang sebanyak RM42 bilion, termasuk bon RM11 bilion.

Baru-baru ia hampir-hampir gagal membayar balik pinjamannya RM2 bilion di beberapa buah bank tempatan. Susulan itu, timbul spekulasi ia memerlukan suntikan RM3 bilion daripada Kementerian Kewangan.

Syarikat ini dilaporkan akan dibubarkan selepas ia berjaya menyelesaikan bebanan hutangnya.


Tiada ulasan: