Khamis, 12 Mac 2015

Khalid terkejut Azmin batal perjanjian air

Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menzahirkan rasa terkejut atas pengumuman tidak rasmi yang dibuat oleh Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berhubung pembatalan perjanjian air antara kerajaan negeri dan Pusat.
 
Bekas menteri besar itu bagaimanapun tidak boleh mengulas lanjut kerana kekurangan butir keputusan tersebut.
 
"Kami sangat terkejut dengan pengumuman tidak rasmi yang dibuat Menteri Besar Selangor tentang tidak menyambung MoU antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri.
 
“Namun, butiran pengumuman terlalu kurang untuk kami memberi sebarang komen,” katanya melalui kemaskini status terkininya di Facebook pada Isnin.
 
Azmin pada Isnin sejurus selesai menghadiri sesi Parlimen ketiga belas, mengumumkan perjanjian air antara negeri itu dengan kerajaan persekutuan tamat dan tidak akan disambung.
 
Beliau berkata, ini kerana kerajaan persekutuan “melanggar syarat perjanjian”, justeru membuatkan kerajaan negeri tiada pilihan.
 
Azmin bagaimanapun semalam berkata, kerajaan negeri Selangor sedia membuka pintu perbincangan berhubung isu air dengan kerajaan persekutuan demi manfaat pengguna air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
 
Namun kata beliau, perkara berkenaan akan tercapai sekiranya kerajaan persekutuan bersetuju untuk mengiktiraf kedaulatan tanah dan aset air milik negeri, serta tidak membuat tuntutan yang bercanggah dengan semangat perjanjian yang telah dimeterai.
 
Azmin juga sekali lagi menegaskan Perjanjian Induk bagi penstrukturan semula air negeri Selangor lupus akibat tindakan kerajaan persekutuan yang gagal menghormati semangat perjanjian yang telah ditandatangani pada September tahun lalu itu.
 
 

Tiada ulasan: