Ketua Pemuda DAP, dua aktivis muda direman polis Ketua Pemuda DAP dan dua aktivis muda ditahan reman ekoran pembabitan dalam himpunan #KitaLawan. - Foto ihsan Facebook Wong Kah Woh 



SHAH ALAM – Ketua Pemuda DAP, Teo Kok Seong serta aktivis muda, Adam Adli Abdul Halim dan Mandeep Singh direman pihak polis hari ini kerana penglibatan mereka dalam perhimpunan #KitaLawan.

Menurut akaun Twitter peguam Wong Kah Woh, pihak polis memohon reman selama empat hari bagi ketiga-tiga mereka di lokap balai polis Jinjang, di ibu negara, hari ini.

“Polis mohon reman empat hari. Gobind kini membantah permintaan reman. Polis perlu menyatakan dalam buku harian penyiasatan mereka tentang apa yang telah dilakukan,” tulisnya dalam akaun Twitternya, hari ini.

Menurut sebuah portal, Kok Seong akan diwakili Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh dan Lim Lip Eng manakala Adam dan Mandeep pula diwakili oleh Melissa Sasidaran serta Eric Paulsen.

Semalam, Kok Seong tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan #KitaLawan di ibu negara pada 7 Mac lepas.
   
Mengulas lanjut, Kah Woh bagaimanapun menulis lagi di akaun Twitternya bahawa majistret hanya membenarkan Kok Seong direman untuk sehari sahaja.

“Teo akan dibawa ke Dang Wangi dari Jinjang jam 2 petang ini (tadi) untuk diambil keterangannya. Kami jangka beliau akan bebas selepas itu," katanya.

Sementara itu, menurut akaun Twitter Eric Paulsen, Adam dan Mandeep pula akan ditahan reman selama tiga hari.

“Majisret Erry Shahriman benarkan reman @AdamAdli @mandeepkarpall tiga hari hingga Selasa atas alasan mereka adalah “flight risk”.

“Keputusan majistret adalah mengejutkan kerana tiada bukti bahawa Adam dan Mandeep adalah “flight risk”. Sebaliknya mereka telah kerjasama dengan polis,” tulisnya di akaun Twitternya, hari ini.

Penahanan Kok Seong disusuli dengan penangkapan Adam dan Mandeep selepas mengadakan himpunan duduk yang “kecil dan aman” di pekarangan pusat beli-belah Sogo, di ibu kota, semalam.