Rabu, 11 Mac 2015

Ketua Audit Negara mesti lebih cergas, segera siasat 1MDB



Oleh LIM KIT SIANG 


Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang mesti lebih cergas menjalankan tugas dan tanggungjawabnya, kerana enam hari tanpa sebarang usaha menyiasat skandal RM42 bilion 1MDB adalah satu kelalaian tugas yang amat berat.

Rakyat Malaysia ingin mengetahui sebab kenapa Ketua Audit Negara tidak segera bertindak menyiasat skandal kewangan terbesar dalam sejarah negara selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan beliau hari Rabu lalu untuk memeriksa kira-kira 1MDB secara bebas.

Rakyat Malaysia masih ingat akan alasan-alasan lemah dan tidak boleh diterima yang diberikan Ambrin November lalu tentang kenapa beliau tidak mengaudit akaun 1MDB.

Dalam satu sidang media pada 12 November 2014, bersempena penerbitan laporan audit siri ketiga, Ambrin berkata bahawa akaun 1MDB telah diaudit oleh salah satu daripada empat firma audit terbesar, maka tidak ada sebab untuk pihak memeriksa kira-kira 1MDB memandangkan kerja tersebut jenuh kerana melibatkan pemeriksaan dokumen dan sebagainya.

(“My answer is as far as their accounts are concerned, it has already been audited by one of the big four (audit firms), so there is no reason why we should ask them to open up their books because auditing financial statements is very laborious (with) examination of documents and things like that.”)

Ambrin dikritik hebat kerana telah menuding jari ke arah The Big Four, dan diberitahu bahawa sekiranya juruaudit tidak boleh berbuat salah, tidak akan wujud skandal kewangan di dunia ini.

Sebagai Ketua Audit Negara, Ambrin juga dimalukan apabila diperingatkan bahawa banyak skandal kewangan terjadi walaupun menggunakan khidmat firma audit terkemuka, seperti:
*Enron yang diaudit oleh Andersen;

*BBMB diaudit oleh Touche Ross (yang kemudiannya diambil oleh Deloitte, yang kini merupakan juruaudit 1MDB), dan Deloitte juga merupakan juruaudit dalam skandal Transmile;

*Lehman Brothers, anak emas bank pelaburan yang jatuh bankrap pada 2008 walaupun diaudit oleh salah satu daripada The Big Four, Ernst & Young

Malah sebenarnya 1MDB telah melalui tiga daripada empat firma The Big Four dalam tempoh lima tahun – mulanya Ernst & Young, yang berhenti tanpa meluluskan walau satu pun set akaun, kemudian diikuti KPMG yang berhenti lewat 2013 tanpa meluluskan sebarang akaun, dan kini Deloitte.

Adakah sebab-sebab pemberhentian dua daripada empat firma The Big Four yang menjadi juruaudit 1MDB dijelaskan kepada Kabinet Rabu lalu, yang menyebabkan Kabinet begitu yakin bahawa 1MDB tidak melakukan sebarang kesilapan?

Ternyata tidak, kerana jika sebaliknya pastilah Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan tergesa-gesa mengeluarkan kenyataan pada Jumaat malam, dan menumpukan secara spesifik bahawa “beberapa tuduhan yang dilemparkan kepada syarikat pelaburan dana strategik itu adalah berkait transaksi yang dibuat sejak 2009, yang tidak dimasukkan ke dalam akaun 2013 seperti yang diaudit oleh Deloitte”.

Ini pasti merupakan tugasan paling mencabar buat Ambrin sebagai Ketua Audit Negara kerana beliau secara hakikatnya akan mengaudit Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, dan bukan setakat 1.4 juta penjawat awam dalam siri laporan auditnya sehingga sekarang, dan dalam proses tersebut menentukan masa depan Perdana Menteri keenam Malaysia!

Ini juga adalah satu sebab kenapa Najib mesti segera melepaskan portfolionya sebagai Menteri Kewangan, bagi mengurangkan komplikasi percanggahan kepentingan dalam skandal 1MDB.

Tetapi ini bukan alasan untuk kegagalan Ambrin bertindak pantas mengaudit akaun 1MDB dalam tempoh enam hari lalu, serta kegagalannya untuk menyatakan ruang lingkup dan terma rujukan siasatan audit 1MDB serta jangkawaktu baginya melengkapkan audit tersebut.

Atau adakah tiadanya tindakan dari Ambrin sepanjang enam hari lalu adalah kerana tidak ada arahan bertulis daripada Perdana Menteri walaupun pejabatnya telah mengeluarkan kenyataan selepas mesyuarat Kabinet pada hari Rabu bahawa ‘sebagai langkah lanjutan, Perdana Menteri telah memaklumkan Kabinet bahawa beliau telah mengarahkan Ketua Audit Negara untuk memeriksa kira-kira 1MDB secara bebas’.

Daripada kenyataan PMO itu, Ketua Audit seharusnya sudah menerima arahan bertulis daripada Perdana Menteri sebelum mesyuarat Kabinet Rabu lalu untuk menyemak akaun 1MDB, kecualilah jika PMO tidak memberitahu perkara sebenar!

Atau adakah kita sedang melihat semula apa yang terjadi dengan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja pendatang asing di Sabah (RCIIIS), di mana telah diumumkan sebuah Jawatankuasa Kerja akan menyusul laporan yang telah dikemukakan, tetapi Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, yang diumumkan sebagai pengerusi Jawatankuasa Kerja Laporan RCIIIS, tidak pun mendapat surat lantikannya sehinggalah dua bulan kemudian.

Adakah Ambrin akan terpaksa menunggu dua bulan lagi sebelum mendapat arahan daripada Perdana Menteri untuk memeriksa kira-kira 1MDB?

Malah, soalan yang patut ditanya ialah sama ada Ambrin harus menunggu arahan Najib untuk mengaudit akaun 1MDB?

Jawapannya pastilah tidak. Ketua Audit Negara tidak perlu berlengah dan harus segera bertindak mengaudit akaun 1MDB, tidak kiralah beliau mendapat arahan Perdana Menteri atau sebaliknya.
Sama juga halnya dengan Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC).

Adakah pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamad akan mendengar cakap Perdana Menteri yang mahu PAC menantikan laporan audit 1MDB oleh Ketua Audit Negara, atau menurut cakap Timbalan Perdana Menteri yang mahu PAC memeriksa kira-kira 1MDB dengan segera?

Nur Jazlan dan PAC tidak perlu mendengar cakap Perdana Menteri mahupun Timbalan Perdana
Menteri, tetapi seharusnya dipandu arah oleh mandat parlimen dan tanggungjawab yang digariskan oleh Peraturan Dewan Rakyat 77(1)(a) untuk melaksanakan siasatan terhadap akaun Persekutuan dan pembahagian dana seperti yang diluluskan Parlimen bagi perbelanjaan awam(“the accounts of the Federation and the appropriation of the sums granted by Parliament to meet the public expenditure”) ; 77(1)(b) akaun pihak berkuasa awam dan badan-badan lain yang menguruskan dana awam seperti yang dibentangkan kepada Dewan (“such accounts of public authorities and other bodies administering public funds as may be laid before the House”) dan 77(1)(d) hal-hal lain yang dirasakan sesuai oleh Jawatankusa, atau yang dirujuk kepada Jawatankuasa oleh Dewan (“such other matters as the Committee may think fit, or which may be referred to the Committee by the House”.)

Jelas sekali bahawa PAC mempunyai kuasa penuh di bawah Peraturan 77 untuk memeriksa akaun 1MDB sekiranya ia rasakan sesuai – i.e. sekiranya ahli-ahli PAS dari Umno, MCA dan Gerakan bersedia meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan diri dan parti, dan bersetuju dengan lima Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dalam PAC untuk melancarkan siasatan segera ke atas akaun 1MDB!

Tetapi adakah ahli-ahli PAC dari Umno, MCA dan Gerakan bersedia untuk mendahulukan kepentingan negara dalam memutuskan supaya PAC segera menyiasat akaun 1MDB? – Roketkini.com

Tiada ulasan: