Khamis, 26 Mac 2015

Kerajaan tubuh pasukan petugas khas Putrajaya siasat 1MDB

ANTARAPOS.COM


Post Pic



KUALA LUMPUR: Putrajaya menubuhkan sebuah pasukan petugas khas kerajaan bagi menyiasat operasi dana pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB), termasuk meneliti hutangnya yang dipercayai mencecah RM42 bilion.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, beliau akan menjadi sebahagian daripada pasukan petugas itu, yang juga akan termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa dan Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

"Kerajaan menubuhkan satu pasukan petugas. Kami melihat perkara ini secara keseluruhannya, termasuk hutang 1MDB," katanya dalam ucapan penggulungan di Parlimen semalam.

Pasukan ini berbeza daripada yang ditubuhkan terdahulu yang diumumkan Peguam Negara (AG), terdiri daripada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara dan polis yang akan melihat ke dalam urusan 1MDB susulan laporan yang dibuat terhadapnya.

Selain daripada pasukan petugas kerajaan tersebut, Husni juga mengumumkan kerajaan meminta CIMB Group, sebagai "pihak ketiga", melaksanakan penilaian terhadap 1MDB, yang merupakan idea Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, bagi Tawaran Awam Permulaannya (IPO).

"Jadi, kita juga akan melihat berapa 1MDB boleh dinilaikan, bagaimana menggunakan tanah yang dimilikinya, dan usaha sama, dan banyak lagi, yang kami percaya, akan menyelesaikan masalah aliran tunai 1MDB," katanya.

Adik Najib, Datuk Seri Nazir Razak, merupakan pengerusi CIMB Group.

Husni mengulangi tanggapannya sebelum ini yang isu utama 1MDB yang dibebani hutang itu ialah masalah aliran tunai, sambil mengatakan masalah syarikat akan diselesaikan sebaik sahaja IPO itu dilancarkan, dijangka pada suku kedua tahun ini untuk aset loji tenaganya.

"Kami tidak mempunyai masalah dengan prinsipalnya selagi ia hutang jangka panjang. Tetapi faedahnya... kami yakin sebaik sahaja IPO dibuat, faedah itu akan berkurangan.

"Dengan hasil dari tanah itu yang boleh dijual dan dari usaha sama itu, kami berharap untuk bukan hanya membayar balik faedah tetapi juga hutangnya," katanya.

Reuters melaporkan pada Disember, IPO itu bertujuan membantu pelabur negara itu mengurangkan satu beban hutang yang melebihi AS$11 bilion (RM40 bilion).

Rancangan untuk jualan itu ditangguhkan beberapa kali, menurut pegawai bank, disebabkan proses due diligence dan rundingan pembiayaan semula hutang yang lebih lama daripada yang dijangkakan.


Bagaimanapun, pengkritik dana pelaburan strategik itu berkata, IPO itu tidak mencukupi untuk menyelesaikan masalah aliran tunai 1MDB, kerana ia hanya mampu menjana kira-kira RM18 bilion berbanding hutangnya yang berjumlah RM42 bilion. - The Malaysian Insider


Tiada ulasan: