Kerajaan perlu respons kenyataan White House Laporan Sinar Harian, semalam.
 
 
 
SHAH ALAM – [DIKEMASKINI] Kerajaan Malaysia perlu memberi maklum balas segera berhubung kenyataan yang dibuat White House kelmarin mengenai petisyen sokongan membebaskan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden Gerakan Antarabangsa untuk Dunia Keadilan (Just), Dr Chandra Muzaffar berkata, sebaiknya menteri luar atau timbalannya perlu melakukan maklum balas tersebut dengan kenyataan lebih rasional bagi membuktikan segala proses kehakiman telah dilakukan dengan seadilnya.

“Jika kenyataan rasmi diperoleh dari negara luar, maka tugas menteri luar untuk membalas semula kenyataan White House itu yang menunjukkan kebimbangan negara itu mengenai sistem kehakiman negara ini.

“Secepat mungkin dalam masa sehari dua ini ia perlu dilakukan agar rakyat tidak tertanya-tanya mengenai pendirian negara terhadap penghinaan atau tuduhan yang dilemparkan kepada sistem pentadbiran negara ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kelmarin, White House mengeluarkan satu kenyataan rasmi berhubung petisyen ‘Bebaskan Anwar’ yang diwujudkan dalam web We The People milik negara Uncle Sam itu.

Menurut kenyataan itu, Amerika Syarikat (AS) sangat kecewa dengan keputusan mahkamah berkaitan Anwar yang pada mulanya didapati tidak bersalah, namun keputusan bertukar sebaliknya selepas kerajaan Malaysia mengemukakan rayuan.

Mengulas lanjut kata Dr Chandra, AS mengeluarkan kenyataan rasmi itu setelah mereka berjaya mengumpul jumlah petisyen tandatangan yang di sasarkan sebagai bukti sokongan kepada Anwar.

“Namun tindakan AS itu telah dapat diduga apabila AS selama ini menyokong Anwar dalam banyak perkara dan pastinya mahu melihat ketua pembangkang itu terbela.

“Justeru kerajaan Malaysia perlu berani menyatakan segala fakta yang menunjukkan semua proses kehakiman dan keadilan dilakukan dengan telus berdasarkan fakta dan bukti-bukti yang telah dikemukakan ketika penghakiman kes Liwat Anwar,” katanya.

Pada masa yang sama kata Dr Chandra, tindakan AS itu adalah perkara biasa diterima oleh kebanyakan negara yang berasa bimbang atau tidak faham dengan sistem kehakiman di sesebuah negara.

“Tetapi apa yang paling penting, rakyat negara ini sendiri perlu faham dengan sistem kehakiman yang digunakan sejak dahulu lagi dan keputusan yang telah diputuskan.

“Sekiranya masih ada pihak terus menyokong Anwar setelah segala bukti dinyatakan seterusnya dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Persekutuan, pastinya manusia tersebut telah terlalu taksub dengan beliau,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, petisyen yang dikemukakan AS itu bukan bermakna untuk mencampuri urusan negara.

“Ia hanya kebimbangan mereka mengenai keadilan yang diberikan kepada individu tertentu. Oleh itu, kerajaan perlu beri maklum balas secara bijaksana, jangan emosional. Misalnya menyatakan yang kerajaan Malaysia akan melihat sekiranya ada kekurangan yang perlu dibaiki atau telah menjalankan segala hukuman dengan adil dan telus.

Azizuddin juga sependapat dengan Dr Chandra mengenai menteri luar yang bertanggungjawab untuk membalas semula kenyataan dari pihak  negara ini kepada White House.

“Biar sistem pentadbiran negara kita nampak sistematik apabila jawapan hanya diberikan oleh menteri yang berkaitan bukan oleh pihak lain,” katanya.