Sabtu, 21 Mac 2015

Keputusan SPAD tidak cerdik – Khairy Jamaluddin

 
Mengapa kenaikan kadar tambang pengangkutan awam perlu diumumkan kurang dua minggu sebelum GST dilaksanakan?


KHAIRY JAMALUDDIN


MELAKA: Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin membidas tindakan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menaikkan tambang pengangkutan awam sebagai satu “kesilapan” dan “tidak cerdik”.

Katanya, SPAD sepatutnya menangguhkan dahulu langkah menaikkan tambang pengangkutan awam kerana dilihat tidak tepat dengan keadaan semasa dan membebankan rakyat.

Menurut beliau, tindakan SPAD dilihat satu ‘kesilapan’ kerana sebagai sebuah agensi kerajaan, SPAD seharusnya lebih prihatin dengan nasib rakyat terutama dengan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April depan.

“Mengapa kenaikan kadar tambang pengangkutan awam perlu diumumkan kurang dua minggu sebelum GST dilaksanakan? Kita harap ia ditangguhkan kerana masanya tidak tepat,” soalnya.
Sehubungan itu Khairy menggesa “SPAD mengkaji semula keputusan itu dan buat keputusan terbaik kerana apabila diumumkan kenaikan itu bukan hanya pembangkang tidak bersetuju tetapi pemimpin UMNO serta kerajaan juga mempersoalkan dan mengkritik tindakan itu.”

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar pada Khamis berkaitan penyelarasan kadar tambang teksi dan kereta sewa antara 20 hingga 67 peratus berkuat kuasa serta-merta manakala bas ekspres pula naik 22.6 peratus bermula 15 Mei depan

Bernama melaporkan Khairy berkata, pelbagai pihak lain turut digesa menangguhkan sebarang kenaikan tambang atau tarif sehingga rakyat dapat menyesuaikan diri dengan keadaan baharu selepas GST dilaksanakan.

Tiada ulasan: