Sabtu, 21 Mac 2015

Kepimpinan PAS perlu ditukar – Nizar Jamaluddin

 
PAS didakwa menghadapri krisis pemikiran dan justeru pemimpin yang menampakkan kelemahan perlu ditukar. 


Mohammad Nizar Jamaluddin


ALOR SETAR: Anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, PAS perlu melakukan perubahan terhadap kepimpinan parti memandangkan ia menghadapi krisis berkaitan pemikiran pemimpinnya.

“Jika mereka ini ada unsur-unsur mempamer kelemahan, maka perlu diubah, ini hak perwakilan dan ada dalam perlembagaan parti. Ubah pimpinan, sebab pemikiran tu bersama pimpinan,” katanya kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pas ke-41 Kawasan Kuala Kedah.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang mahu Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikekalkan sebagai Presiden PAS dengan alasan beliau mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik dalam menghadapi pelbagai situasi.

Ahmad Yakob dilapor berkata, walaupun Perlembagaan PAS memberi ruang untuk sesiapa sahaja memilih calon yang layak bagi menggalas tugas itu, namun sehingga kini keperluan Abdul Hadi menjadi presiden PAS dilihat masih tinggi.

Ditanya apa perlunya bagi PAS untuk terus bersama dengan Pakatan Rakyat, Nizar berkata ianya penting bagi memastikan kedudukan PAS di hati orang bukan Melayu.

“Bila PAS berkeseorangan sepanjang 12 tahun, kita tak dapat tempat di hati pengundi bukan Melayu, tapi bila kita sama Pakatan Rakyat, kita banyak menang di kawasan yang bukan majoriti Melayu,” katanya, lapor Bernama.

Lantaran itu katanya, pendirian Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din yang menegaskan PAS meletakkan perjuangan menegakkan hukuman Hudud sebagai ketetapan yang jauh lebih penting daripada kerjasama pakatan pembangkang itu adalah pendapat peribadi Haron.

Nizar berkata, pada masa ini terdapat dua pemikiran dalam PAS iaitu pemikiran ulama dan pemikiran progresif profesional.

Tiada ulasan: