Ismail Sabri Yaakob Ismail Sabri
 
 
 
SHAH ALAM - MCA dan Gerakan tidak wajar membantah tindakan Umno menyokong Pas dalam pelaksanaan sistem hudud di Kelantan kerana ia  tidak menjejas atau memberi kesan kepada orang bukan Islam.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri melahirkan rasa kesal terhadap tindakan kedua-dua parti komponen BN itu kerana tidak menghormati keputusan Umno yang menjadi tonggak umat Islam negara ini.

"Umno dah sokong dan isu hudud ini adalah isu umat Islam. Mereka tidak terkesan atau terjejas dengan hukum yang diperkenalkan.

"Apa kesannya kepada mereka? Zero (kosong)...," kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau melahirkan rasa kesal terhadap MCA dan Gerakan yang mengugut akan keluar BN sekiranya Umno menyokong Pas dalam pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

Tegas Ismail, Umno tidak pernah campur tangan dalam hal-hal agama mereka.

"Dari segi moralnya mereka cuba campur tangan dalam hal-hal orang Islam. Dalam Perlembagaan kita uruskan sendiri urusan agama kita. Mereka tak hormati perasaan orang Islam dalam negara kita.

"Kalau Umno sokong, MCA dan Gerakan perlu bawa isu ini dalam mesyuarat tertinggi dalam BN. Saya rasa perkara ini amat tidak wajar," ujarnya kesal.

Ismail juga meminta parti komponen BN yang bukan Islam supaya jangan campur tangan dalam isu membabitkan hal ehwal agama Islam.

"Saya harap perkara ini dapat dihentikan kerana kalau diteruskan, semakin lama masyarakat dalam negara ini makin tidak hormat agama lain... dan ini tidak baik untuk masa depan negara.

"Kita nampak kerajaan Kelantan dah kompromi. Undang-undang hudud ini hanya untuk orang Islam sahaja.

"Undang-undang ini dah lulus sejak tahun 1993... kenapa dulu tak tentang tapi sekarang ketika kerajaan nak buat pindaan, mereka tentang?  Mungkin ada agenda tersirat, saya pun tak tahu...," kata Ismail.