Maszlee Malik Maszlee Malik
 
 
 
SHAH ALAM - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar perlu menjelaskan soal penahanan terhadap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang juga Naib Presiden PKR, Isnin lalu.

Penganalisis politik, Dr Maszlee Malik berpandangan, Khalid sepatutnya menjelaskan bagaimana Nurul Izzah boleh hilang imuniti sebagai seorang ahli Parlimen yang berucap di dalam Dewan Rakyat.

“KPN kena jawablah. Sebab dalam kes ini, ahli Parlimen hilang imuniti jadi, dia perlu jelaskan.

“Jadi, sekarang ini seolah-olah macam ahli Parlimen tidak ada imuniti dan ini akan melemahkan semangat pengamalan demokrasi. Kita minta KPN jawablah,” katanya kepada Sinar Online ketika ditemui selepas Wacana Sinar Siri ke-35: Apa di Sebalik 1MDB? di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini hari ini.

Nurul Izzah ditahan satu malam di Pusat Tahanan Reman Jinjang, Kuala Lumpur susulan kenyataannya pada persidangan Dewan Rakyat minggu lalu yang turut menyentuh sistem kehakiman negara di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan.

Sementara itu, Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Prof Madya Azmi Hassan, semua ahli Parlimen perlu faham bahawa imuniti berhujah dalam Dewan Rakyat tetap mempunyai had.

“Ya, imuniti di Parlimen itu ada had. Secara mudahnya, apabila ahli Parlimen itu mengkritik keputusan mahkamah, itu yang dikatakan menghina mahkamah. Imuniti itu secara automatiknya akan hilang. Tidak perlu digunakan Akta Hasutan seumpamanya.

“Mereka kena faham, (imuniti) itu ada hadnya dan kena faham kenapa imuniti itu diberi. Imuniti itu diberi untuk beri penerangan kepada rakyat tentang perkara yang tidak menyentuh keputusan mahkamah yang sudah berlaku.

Jadi, itu secara automatiknya imuniti tersebut hilang dan beliau ditahan di bawah Akta Hasutan,” katanya.

Jelasnya lagi, beliau yakin Nurul Izzah tahu punca dirinya ditahan polis, kelmarin.

“Sepatutnya tidak (dibangkitkan soal imuniti). Nurul Izzah pun tahu kenapa (ditahan) beliau dikatakan mengutarakan ucapan yang sedemikian rupa...kerana (imuniti itu) ada hadnya,” katanya.

Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat  di bawah Seksyen 36(8) menyebut ahli Parlimen dalam perbahasan mereka adalah dilarang menyentuh kelakuan atau sifat Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu, Yang di-Pertua Negeri atau hakim-hakim dan lain-lain orang yang menjalankan keadilan mahkamah atau ahli Majlis Pasukan Bersenjata.

Sementara itu. Perkara 63 (4) Perlembagaan Persekutuan mengetepikan peruntukan di bawah Perkara 63 (2) berhubung kekebalan ahli Parlimen, membolehkan tindakan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati bersalah melakukan jenayah di bawah undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen di bawah Artikel 10 (4) Perlembagaan Persekutuan atau sebarang kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948.