Suhaizan Kaiat Suhaizan Kaiat
 
 
SHAH ALAM - Fungsi sistem tarbiah yang sepatutnya menyatukan ummah kesemua ahli Pas tidak diurus dengan baik sehingga menyebabkan berlakunya perpecahan dalam Pas.
 
Ketua Pemuda Pas Pusat, Suhaizan Kaiat berkata, kelemahan sistem tersebut melebarkan lagi jurang yang terdapat dalam Pas.
 
"Kelemahan itu saya tidak boleh sebut sebab ia melibatkan beberapa pihak," katanya kepada Sinar Online hari ini.

Suhaizan dalam pada itu menafikan dakwaan keterbukaan Pas sebagai punca keretakan parti berkenaan.
 
"Memang sifat Pas terima semua (golongan) untuk masuk ke dalam Pas, tapi kita ada sistem tarbiah yang berfungsi untuk menyatukan semua pihak.
 
"Sistem itu diamalkan sejak tahun 1980-an dan itulah punca sebenar masalah kita (Pas). Itulah yang perlu diperbaiki," katanya lagi.
 
Bekas Setiausaha Pas Selangor, Norman Toha menerusi laporan akhbar Sinar Harian mendakwa, sifat keterbukaan Pas menerima ahli dan pemimpin dari luar pada tahun 1998 merupakan punca keretakan parti berkenaan.
 
Katanya, seperti yang dipetik menerusi laporan akhbar hari ini, dasar keterbukaan tersebut menyebabkan pelantikan kepimpinan Pas tidak mengikut kriteria yang telah ditetapkan.
 
Dakwa Norman lagi, Pas juga melakukan kesilapan melantik ahli Pas yang tidak dididik sejak awal oleh parti itu; sebagai pemimpin tertinggi parti.