Anwar Ibrahim Anwar Ibrahim
 
 
 
SHAH ALAM - Satu perjumpaan antara Speaker  Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Ketua Whip Ahli Parlimen PKR, Datuk Johari Abdul akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincang kehadiran Anwar ke Parlimen.

Ia susulan daripada tindakan Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar yang menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk hadir ke persidangan tersebut yang akan berlangsung pada minggu hadapan.

"Petang tadi (hari ini) saya singgah di Parlimen di Kuala Lumpur untuk bertemu dengan Speaker bagi membincangkan masalah ini. Tetapi beliau masih belum kelihatan di Parlimen. Mungkin masih sibuk dengan persiapan untuk persidangan itu nanti.

"Namun saya telah maklumkan kehadiran saya ini kepada beliau untuk mendapatkan kata putus dari Speaker mengenai perkara ini," katanya dalam sidang media hari ini.

Anwar hanya akan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Permatang sekiranya petisyen pengampunan yang difailkan isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta dua anak mereka, Nurul Izzah dan Nurul Nuha, bagi pihak Anwar pada 24 Februari lalu diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Pandikar Amin sebelum ini berkata, beliau hanya boleh mengemukakan pemberitahuan selaras dengan Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan mengenai kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh sebaik sahaja kehilangan kelayakan Ahli Parlimen Permatang Pauh mula berkuat kuasa mengikut perenggan (c) Fasal (4) Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.

Tambah Johari lagi, pihaknya juga akan mengadakan perbincangan bagi memutuskan keperluan untuk membawa perkara tersebut ke Mahkamah.

"Walaupun Zulkifli sudah keluarkan surat tidak benarkan Anwar hadir, tetapi tidak bermakna Anwar tidak boleh hadir. Ini merupakan salah satu usaha kita untuk membolehkan beliau hadir bersama-sama dengan kita di Parlimen nanti.

"Kami rakan-rakan pimpinan akan adakan perbincangan dan putuskan sama ada hal ini perlu dibawa ke mahkamah atau tidak. Semuanya bergantung kepada keadaan dan hasil perbincangan itu nanti," katanya lagi.