THE MALAYSIAN INSIDER
Undang-undang hudud bukan untuk membebankan, tetapi
ia berupaya memperbaiki keadaan sosial masyarakat, kata Dekan Institut
Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa Universiti Islam
Antarabangsa Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid.
Katanya undang-undang hudud tidak harus dilihat daripada segi hukuman
berat semata-mata, sebaliknya ia perlu dinilai sebagai satu daripada
cara untuk melahirkan masyarakat berdisiplin.
"Mereka yang takut kepada pelaksanaan undang-undang hudud disebabkan
mereka hanya fokus kepada hukuman berat sahaja seperti hukum rejam,
potong tangan dan sebagainya," katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau mengulas mengenai keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan
pada 19 Mac meluluskan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993
(Pindaan 2015) atau lebih dikenali sebagai undang-undang hudud yang
hanya terpakai kepada orang Islam mukallaf sahaja apabila ia
dilaksanakan kelak di negeri itu.
Kesemua 44 anggota dewan termasuk 31 anggota dewan daripada PAS,
kesemua 12 anggota dewan daripada Barisan Nasional dan seorang daripada
PKR menyokong pindaan rang undang-undang itu yang dibentangkan kerajaan
negeri pimpinan PAS melalui Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.
Mahmood Zuhdi berkata menurut Islam, masyarakat boleh dididik melalui 2
perkara, iaitu memberi galakan, dan ancaman hukuman yang berat supaya
mereka 'takut' untuk melakukan kesalahan.
"Sebagai contoh kesalahan mencuri, jika hanya seorang atau 2 orang
dipotong tangannya ia akan membuatkan masyarakat takut untuk mencuri,
tidakkah ini membawa kebaikan dan keindahan daripada kita memenjarakan
600 orang.
Kedua-duanya ialah hukuman tetapi perbezaannya mana satu yang boleh melahirkan kesan yang mendalam kepada masyarakat," katanya.
Namun Mahmood Zuhdi menegaskan undang-undang hudud hanyalah sebagai
kaedah tambahan untuk mendisiplinkan masyarakat setelah institusi sosial
seperti ibu bapa, dan institusi pendidikan memainkan peranan membentuk
karakter dan sahsiah seseorang.
Oleh itu, tegas beliau, undang-undang hudud tidak perlu ditakuti kerana
ia perlu melalui proses penghakiman yang kompleks sebelum hukuman
dijatuhi.
Katanya terdapat beberapa kriteria utama yang diambil kira sebelum
seseorangitu dijatuhi hukuman hudud atas kesalahan yang dilakukan.
"Sebelum menjatuhi undang-undang hudud, antara perlu diambil kira
adalah cara didikan ibu bapa, pengaruh rakan sebaya, kawasan kejiranan,
peranan para ulama, tempat beribadat dan institusi pendidikan perlu
menjalankan fungsinya dengan betul mengikut ajaran Islam, barulah hukum
itu terlaksana," kata Mahmood Zuhdi.
Contohnya, sekiranya seseorang yang dituduh mencuri sedangkan dia
dibesarkan dalam keluarga yang tidak bermoral maka undang-undang hudud
tidak boleh dijatuhi ke atasnya.
Ditanya mengenai sikap sesetengah orang Islam sendiri yang menolak
undang-undang hudud, Dr Mahmood Zuhdi berkata golongan ini tidak harus
dipersalahkan kerana pihak yang menolak undang-undang itu mempunyai
kefahaman yang salah.
Maka, katanya pendidikan dan penyebaran ilmu mengenai undang-undang ini perlu diperluaskan.
Mahmood Zuhdi turut menyarankan supaya pihak yang terlibat memperbaiki
kehidupan masyarakat sebelum memperkenalkan undang-undang hudud.
"Pihak yang melaksanakan hukuman ini perlu memastikan kesejahteraan
hidup masyarakat seperti tiada kemiskinan, tiada unsur-unsur lucah di
kaca televisyen dan sebagainya yang perlu seiringan dengan pelaksanaan
hukum tersebut," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia Musa Awang
menyifatkan pelaksanaan hukum hudud sebagai langkah pencegahan untuk
seseorang itu daripada melakukan kesalahan.
Katanya sebagai bukti, pelaksanaan hukum hudud pada zaman Rasullah yang
berjaya mengelakkan kesalahan seperti berzina, merompak dan minum arak
berlaku.
"Dalam hukum hudud, 'beban' membuktikan sesuatu kesalahan ialah terlalu
ketat dan sukar, jadi untuk membuktikan sesuatu yang sukar maka hukuman
itu bukan bertujuan menghukum tetapi untuk mencegah orang daripada
melakukannya, kerana bila masyarakat tengok hukuman itu berat mereka
akan takut untuk melakukan kesalahan," katanya.
Musa turut menambah pelbagai aspek dalam pelaksanaan hukum hudud yang
perlu diambil kira seperti kewibawaan saksi, tatacara menentukan
kesalahan, dan pihak mahkamah yang perlu arif dengan undang-undang hudud
bagi mengelakkan undang-undang Islam itu dipandang serong. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan