Sabtu, 21 Mac 2015

Jabatan Perikanan siasat punca ribuan ikan mati

MALAYSIAKINI


Jabatan Perikanan Pulau Pinang akan menjalankan siasatan bagi mengetahui punca sebenar menyebabkan ribuan ikan duri mati dan ditemui terapung di permukaan air sepanjang perairan Sungai Kerian hingga pintu air Ampang Jajar, di Nibong Tebal.
  
Pengarahnya Abdullah Md Dan berkata beliau telah mengarahkan satu pasukan khas untuk menjalankan siasatan berkenaan dan pegawainya juga telah mengambil sampel air sungai berkenaan.

"Kita ada menerima aduan dan laporan daripada penduduk berkenaan kejadian itu dan saya percaya tidak mustahil kematian ikan-ikan terbabit disebabkan pencemaran toksik yang dilepaskan oleh kilang berhampiran ke sungai berkenaan.
  
"Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan dan kami masih menunggu sampel air yang diambil untuk dihantar ke Bahagian Biosekuriti untuk ujian lanjut," katanya ketika dihubungi semalam.

Semalam Bernama melaporkan ribuan ikan duri mati dan ditemui terapung di permukaan air sepanjang perairan Sungai Kerian hingga pintu air Ampang Jajar, di Nibong Tebal sejak beberapa hari lepas.
  
Ekoran kematian ribuan ikan di perairan itu, kawasan sekitarnya dicemari bau busuk kerana ikan-ikan berkenaan terhalang oleh pintu air yang ditutup.
  
Sementara itu, Abdullah berkata proses siasatan mungkin akan mengambil sedikit masa berikutan beberapa ujian perlu dijalankan sebelum laporan penuh dapat diperolehi.
  
"Kami juga akan mendapatkan segala maklumat yang diperoleh daripada jabatan dan agensi terlibat bagi mengenal pasti punca kematian ikan-ikan berkenaan sama ada disebabkan pencemaran atau sebaliknya," katanya.- Bernama


 

Tiada ulasan: