Rabu, 11 Mac 2015

Isu Paul Phua: Shahidan Kassim tak faham soalan, tanya lain jawab lain

SUFI4356

Roketkini.com
 

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng menyelar jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berhubung isu Paul Phua Wei Seng yang bukan saja mengelirukan malah langsung tidak menjawab soalan.

“Dalam pertanyaan lisan Dewan Rakyat semalam, saya meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya menyatakan berapa kalikah Phua terlibat dalam projek yang membabitkan keselamatan negara.

“Tapi yang jawapan saya terima dari Shahidan (mewakili Jabatan Perdana Menteri) adalah kerajaan tidak bercadang untuk mendedahkan sebarang maklumat yang berkaitan Phua dalam urusan keselamatan kerana ia adalah rahsia besar dan diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

“Shahidan ni faham soalan atau tidak? Mengapa soalan saya ditolak? Saya tanya berapa kalikah Phua terlibat dalam projek keselamatan negara dan bukannya maklumat tentang urusan keselamatan negara,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Phua yang berasal dari Sarawak baru-baru ini telah ditahan oleh Federal Bureau of Investigation (FBI) kerana terlibat dengan perjudian haram di Caesar’s Palace Hotel Las Vegas.

Beliau sebelum ini pernah ditahan dan kemudiannya diusir dari Macau kerana menjalankan operasi perjudian atas talian.

Namun, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas itu membuat satu tindakan yang amat memeranjatkan apabila beliau menulis surat kepada FBI untuk mempertahankan integriti Phua.

Dalam suratnya kepada Timbalan Pengarah FBI Mark F Giuliano itu, Zahid juga menafikan bahawa Phua ialah ahli kongsi gelap 14K dan memohon agar beliau dibenarkan pulang ke Malaysia.

Zahid turut mendakwa bahawa Phua telah beberapa kali membantu Kerajaan Persekutuan dalam projek berkaitan keselamatan negara. -Roketkini.com


Tiada ulasan: