Isu GST Peserta demonstrasi Protes Bantah GST dikawal oleh pasukan LSF di hadapan Pejabat Kastam Kelana Jaya, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
 
 
 
KELANA JAYA - Sebanyak 106 soalan berkaitan GST diberikan kepada kastam, dalam satu himpunan bantah GST di pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Dalam himpunan itu, sekumpulan individu yang mendakwa mewakili Gabungan Bantah GST melibatkan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) hadir menyuarakan bantahan tersebut yang berlangsung pada jam 11 pagi.

Antara soalan yang diajukan antaranya, penggunaan kad kredit yang dikenakan GST, pembelian rumah, pengecualian GST terhadap Orang Kelainan Upaya(OKU) dan strategi kerajaan bagi memastikan harga barang berpatutan.

Difahamkan, bagaimanapun, soalan tersebut tidak akan secara langsung, tapi hanya akan dijawab melalui surat bertulis.

Demonstrasi turut dihadiri beberapa pemimpin pembangkang seperti Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Hatta Ramli, Sasterawan Negara, A Samad Said serta pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard.

Kini, sehingga jam 3.30 petang, peserta demonstrasi masih belum bersurai. Seramai lebih 100 anggota polis termasuk Pasukan simpanan Persekutuan (FRU) turut ditempatkan, bagi menjaga keadaan.