Ahad, 29 Mac 2015

Isu Beng Hock: DAP pertikai tindakan kerajaan pertahan kenaikan pangkat pegawai SPRM

teoh-beng-hock-32
 Roketkini.com
 

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching mengkritik tindakan kerajaan yang mempertahankan kenaikan pangkat Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Hishamuddin Hashim walaupun beliau terlibat dalam kes kematian Teoh Beng Hock.

Nie Ching berkata, biarpun nama Hishamuddin tidak pernah disebut dalam kes kematian Beng Hock pada tahun 2009, namun Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) telah mendedahkan bahawa beliau menggunakan ‘kekerasan berlebihan’ terhadap bekas pembantu Adun Seri Kembangan itu.

Menurutnya, Hishamuddin juga didapati tidak berlaku jujur apabila mengarahkan orang bawahannya menipu untuk menyelamatkan dirinya.

“Hishamuddin telah berbohong dalam prosiding RCI apabila beliau mengatakan tidak tahu-menahu tentang laporan polis terhadap pegawainya kerana menggunakan kekerasan fizikal.

“Beliau juga mengarahkan Penolong Penguasa SPRM Azeem Hafeez Jamaluddin memberi keterangan bahawa Hairul Ilham (Pemangku Penolong Pesuruhjaya SPRM) telah mengetuai siasatan untuk menutup peranannya dalam siasatan terhadap Exco Selangor Ean Yong Hian Wah

“Laporan RCI juga dengan jelas menyebut bahawa Hishamuddin bersalah menggunakan kekerasan secara berlebihan ke atas Beng Hock,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Pada 26 Mac lalu, semasa menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang Dipertuan Agung, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim telah mempertahankan kenaikan pangkat Hishamuddin Hashim sebagai Pengarah SPRM Sabah.

Beliau mendakwa kenaikan pangkat Hishamuddin adalah berdasarkan kekosongan jawatan sedia ada dan prestasi yang ditunjukkan, selain tidak pernah dikenakan sebarang tindakan tatatertib.

Nie Ching yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP turut mempersoalkan apakah rasional di sebalik kenaikan Hishamuddin dan mengapa Razali begitu bermati-matian mempertahankan beliau.
“Kepakaran apa yang dimiliki Hishamuddin sehingga Razali mengatakan bahawa beliau berhak untuk dinaikkan pangkat?

“Apakah keupayaannya untuk berbohong? Menutup perbuatan jahat? Atau kecenderungan ganasnya?” soal Nie Ching. -Roketkini.com

Tiada ulasan: