Sabtu, 21 Mac 2015

Inikah Balasan Najib Terhadap PAS?

KELAB GREENBOC



 
 
Apakah Najib akan sekat RUU hudud?

Rang undang-undang hudud menjadi salah satu isu panas yang dibangkitkan semasa pertemuan di antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dengan pemimpin parti komponen BN di Parlimen semalam.

Para pemimpin terbabit telah mencapai kata sepakat bahawa hudud bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Najib juga mengakui kata sepakat itu bahawa hudud akan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan
, kata seorang pemimpin parti komponen BN kepada Malaysiakini tetapi tidak mahu namanya disiarkan.

Bagaimanapun, kata sepakat semata-mata masih mempunyai banyak ruang untuk pentafsiran seperti yang dilihat dalam perjanjian Pakatan Rakyat yang berkecai selepas PAS tetap mahu melaksanakan hukum jenayah syariah itu.

Malah pemimpin BN tersebut tidak mahu membuat sebarang tafsiran lanjut mengenainya, dengan menekankan bahawa parti komponen BN telah pun menyatakan dengan jelas bahawa kanun jenayah sivil sekarang sudah mencukupi.

Bagaimanapun, seorang lagi pemimpin parti komponen BN, yang tidak mahu disebut namanya, melihat ini sebagai jaminan bahawa Najib tidak akan membenarkan ia menjadi kenyataan di Parlimen.

Mereka berkata perdana menteri juga bersetuju untuk mengeluarkan satu kenyataan tidak lama lagi, bagi menyatakan pendiriannya.

Najib, yang juga pengerusi BN, bukan sahaja mesti mengimbangi rakan komponen tetapi juga Umno yang telah mengambil pendirian bertentangan dengan apa parti komponen BN mahu.

PAS telah pun mengemukakan notis untuk membentangkan rang undang-undang persendirian berhubung dengan hudud dalam sidang Dewan Rakyat sekarang.

Rang undang-undang ini bertujuan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, yang kini menghadkan hukuman yang dikenakan oleh mahkamah syariah - penjara tidak lebih tiga tahun, denda sehingga RM5,000 dan enam sebatan bagi kesalahan tertentu.

Dengan menukar had tersebut, ia akan membolehkan mahkamah syariah menjatuhkan hukuman mengikut undang-undang hudud di Kelantan, yang antara lain, termasuk direjam sehingga mati dan sehingga 80 sebatan. -mk


Najib saman Harakahdaily berhubung isu 1MDB

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memfailkan saman fitnah terhadap Pengarah Urusan Harakah Dr Rosli Yaakob dan Ketua Pengarang Portal Harakahdaily Taufek Yahya berhubung isu dana 1MDB.

Najib memfailkan saman itu pada Rabu lalu menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Writ saman itu diperoleh pemberita hari ini selepas peguam Fahmi Adilah yang mewakili Najib menyerahkan saman itu kepada Rosli dan Taufek di pejabat Harakah di Kuala Lumpur.

Najib menamakan Rosli dan Taufek sebagai defendan pertama dan kedua.

Saman itu berkaitan penerbitan artikel yang ditulis Rosli pada 19 Februari lalu bertajuk “Dana 1MDB biayai syarikat filem Riza Aziz?(Bhg 2)”.

Menerusi pernyataan tuntutan, Najib mendakwa artikel itu mengandungi perkataan fitnah yang merujuk kepadanya dengan niat jahat bahawa beliau menyalah guna dana milik 1MDB.

Najib mendakwa akibat daripada penerbitan artikel itu, reputasinya terjejas dan dikecam dalam media sosial serta media massa dengan pelbagai tuduhan yang menghina dan mengaibkan.

Taufek pula, dakwanya, gagal mengamalkan prinsip 'responsible journalism' (kewartawanan bertanggugjawab) untuk mengesahkan kebenaran perkataan yang ditulis dan gagal mengambil langkah mendapatkan sebarang penjelasan sebelum menerbitkan perkataan itu.

Najib juga mendakwa defendan sengaja menerbitkan artikel fitnah itu untuk menghancurkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadapnya bagi meneruskan agenda defendan sendiri tanpa menghiraukan sensitiviti isu yang dibangkitkan.

Beliau juga mendakwa pada 26 Februari lalu peguam yang mewakilinya menghantar notis tuntutan supaya defendan berhenti membuat kenyataan berkenaan artikel fitnah itu dan membuat permohonan maaf tidak bersyarat dalam bentuk bertulis serta penarikan balik kenyataan berkenaan.

Najib juga menuntut satu aku janji bahawa defendan tidak akan mengeluarkan kenyataan fitnah itu atau yang serupa dengannya serta membayar ganti rugi untuk kerosakan reputasi, kos dan perbelanjaan yang ditanggung olehnya.

Bagaimanapun, dakwanya, pihak defendan enggan memberi sebarang jawapan bertulis berhubung notis tuntutan itu dan ia menunjukkan defendan tidak berasa kesal atas penerbitan artikel itu.

Dalam saman ini, Najib menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, faedah serta satu injunksi untuk menahan defendan atau pembantu mereka menerbitkan artikel berkenaan.

Turut dipohon ialah satu perintah supaya defendan menerbitkan permohonan maaf secara bertulis untuk diterbitkan dalam akhbar.
– Bernama


ULASAN GB

Baca betul-betul dua laporan di atas. GB tak perlu ulas panjang-panjang. Ia self-explanatory.

Hudud yang diperjuangkan tak dapat dilaksanakan, hubungan PAS dengan rakan PR pula yang jadi porak peranda. Sebabnya? Percaya sangat kepada UMNO konon UMNO jujur... Kini... ayam terlepas, tangan mahu tahi...


Bukan GB tak sokong hudud tetapi, fiqh awaliyyat tidak meletakkan hudud sebagai keutamaan. Presiden PAS sendiri yang pernah berkata demikian.


Tiada ulasan: