Rabu, 18 Mac 2015

Hutang Pembinaan PFI cecah RM30 bilion, DAP desak penjelasan PAC

ong_kian_ming

 Roketkini.com

 
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) disaran menuntut jawapan daripada Kementerian Kewangan berhubung anak syarikat Pembinaan PFI yang kini menimbun hutang hampir RM30 bilion.

Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming berkata, PAC sebagai panel Parlimen perlu mendesak Kementerian Kewangan menjawab 10 soalan berikutan syarikat tersebut dilaporkan memiliki liabiliti RM27.9 bilion pada akhir tahun 2012.

“Antara yang perlu dipertanyakan kepada Pengarah Pembinaan PFI Tan Sri Dr Mohd Irwan Siregar Abdullah adalah bagaimana kaedah perolehan dan keupayaan syarikat tersebut dilakukan untuk membayar semula hutangnya.

“Nama Pembinaan PFI seolah-olah menunjukkan bahawa projek mereka dibiayai melalui Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).

“Adakah projek-projek yang dibiayai Pembinaan dianggap sebagai Inisiatif Kewangan Swasta dan jika ya, siapa entiti swasta terlibat menanggung perbelanjaan modal bagi projek-projek dijalankan?” soalnya.

Kian Ming yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Selangor juga mempersoalkan bagaimana penganugerahan projek-projek yang dibiayai Pembinaan PFI.

“Adakah melalui tender terbuka menerusi laman web kerajaan iaitu MyProcurement atau rundingan?” soalnya lagi.

Justeru, Kian Ming menyarankan PAC untuk mengumpul maklumat terperinci mengenai Pembinaan PFI termasuk identiti bahagian pengurusan mereka.

Beliau turut menuntut jawapan dari Pembinaan PFI mengenai kaedah ‘rumit’ pembayaran balik hutang mereka.

“Pembinaan PFI tidak memenuhi obligasi pinjaman secara terus kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ketika ia dijadualkan pada Ogos 2012 apabila Pesuruhjaya Tanah Persekutuan terpaksa membayar balik hutang mereka,” katanya.

Jelas Kian Ming, Pembinaan PFI telah mengambil pinjaman buat kali pertama sebanyak RM20 bilion daripada KWSP pada bulan Ogos 2007 dan ia perlu dibayar sekaligus (lump sum) berserta faedah pada bulan Ogos 2012.

Namun, pinjaman tersebut distrukturkan semula pada 2012 kepada bayaran dua kali setahun untuk 15 tahun sehingga 2027.

“Mengapa kaedah yang sebegini rumit digunakan untuk membayar semula KWSP? Mengapa tidak tambahan faedah RM20 bilion dibayar balik sepenuhnya pada bulan Ogos 2012?” soalnya.

Kian Ming turut meminta Kementerian Kewangan menyenaraikan kos setiap projek yang diberikan kepada Pembinaan PFI dan perkembangannya, oleh kerana kelewatan mengemukakan penyata tahunan pada 2013 dan keupayaan membayar semula pinjaman RM19.5 bilion pinjaman Islam Bai Muajjal dari KWSP, Ogos tahun lalu. – Roketkini.com


Tiada ulasan: