PETALING JAYA: PKR malam tadi membuat keputusan yang “pasti
menggembirakan” PAS selepas kerajaan Kelantan pimpinan parti itu
meluluskan pindaan undang-undang ke arah melaksanakan hudud di
Kelantan.
Majlis Pimpinan Tertinggi PKR bermesyuarat hampir dua jam namun
keputusannya hanya akan diumumkan hari ini, kata Presiden PKR Datuk Seri
Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Bagaimanapun Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin memberitahu
Antarapos bahawa keputusan mesyuarat PKR itu akan menceriakan PAS.
“Insya Allah PAS akan gembira dengan keputusan PKR malam ini,” kata beliau tanpa mengulas lanjut.
Keahlian PAS di dalam Pakatan Rakyat menjadi tanda tanya setelah parti
itu dibidas oleh DAP dan PKR susulan DUN Kelantan meluluskan pindaan
Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1993 Khamis lalu.
PAS akan membentangkan usul persendirian di Parlimen bagi meminda
peruntukan mengenai kuasa-kuasa Mahkamah Syariah bagi membolehkan hudud
dilaksanakan di Kelantan.
Parti itu perlu memperolehi sokongan majoriti mudah 112 undi di
Parlimen dan memerlukan sokongan Ahli Parlimen PKR beragama Islam untuk
mencapai matlamat itu.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka membentangkan usul
persendirian itu di Dewan Rakyat pada sidang yang sedang berlangsung
sekarang.
Wan Azizah dan Shamsul bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada
keputusan yang dicapai malam ini adalah bersabit pendirian PKR apabila
usul itu dibentangkan di Parlimen.
PKR sebelum ini menuduh PAS sebagai mungkir janji apabila parti itu
membentangkan sebuah enakmen baru bagi melaksanakan hudud dan bukannya
pindaan terhadap empat perkara sebagaimana yang dijanjikan kepada
Pakatan Rakyat pada Februari lalu.
Justeru PKR mengarahkan ADUN Guchil, Roslan Puteh daripada parti itu
untuk tidak menyertai perbahasan atau mengundi terhadap pindaan
berkenaan.
Bagaimanapun pindaan itu mendapat sokongan penuh daripada kesemua ADUN PAS dan Umno dalam DUN Kelantan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan