SUMPAH saya tidak kenal Aisyah Tajuddin. Walaupun sering mengikuti siaran radio BFM – ketika terperangkap dalam kesesakan pulang dari pejabat – tidak pernah sekali saya mendengar suara gadis itu di udara.

Tetapi setakat rencana ini ditulis (semalam), 378,868 orang telah mengikuti dan meluahkan perasaan terhadap pengacara berkenaan, bukan kerana suaranya di udara, tetapi kerana videonya yang dimuat naik di alam siber.

Semuanya gara-gara kenyataannya dalam video 1 minit 55 saat itu yang dianggap mempersoalkan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan. Umat Islam marah dan menganggap pengacara berkenaan telah mempersenda agama Islam.

Seperti yang dilaporkan media, Aisyah dalam video berkenaan turut mempersoalkan rakyat negara ini yang bergaduh mengenai agama dan bangsa tetapi ekonomi negara merosot dan hutang meningkat.

Dalam video berkenaan dia menyindir pelaksanaan hukum hudud dengan membuka bungkusan nasi lemak tetapi di dalamnya kosong sambil mengibarkan bendera negeri Kelantan.

Begitulah tidak pekanya pengacara berkenaan! Maka tidak menghairankan sekiranya dia dikecam hebat di alam maya, sehingga ada ugutan untuk membunuh dan merogolnya.

Video kontroversi itu telah ditarik balik oleh stesen radio swasta berkenaan, dan pengacara manis manja itu telah disoal siasat oleh polis, mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana menghina agama. Setakat ini belum diketahui apa penghujung soal siasat tersebut.

Aisyah sendiri telah memohon maaf dan menyatakan rasa kesal mengenai video tersebut. Menerusi kenyataan media, dia mengakui ini pengalaman pahit buat diri dan keluarga.

Saya tidak tahu orang lain, tetapi secara peribadi saya memaafkan Aisyah. Semoga ini menjadi pengajaran buatnya untuk tidak lagi dengan mudah mempersenda agama. Mudah-mudahan ALLAH mengampuni dia.

Perihal orang yang mengugut untuk membunuh dan merogol gadis ini, pada hemat saya itu hanya terlebih emosi. Kalau benar sayangkan hukum Islam, pasti mereka tidak melakukan ugutan tersebut sebab merogol jelas bercanggah dengan hukum agama!

Saya lebih menyalahkan BFM. Stesen radio bisnes itu sepatutnya peka dengan isu-isu yang menyangkut hal-hal sensitif, lebih-lebih lagi hal agama. Menurut kenyataan stesen swasta itu Aisyah bukan pengacara tetap dan hanya pengacara pengganti program ‘BMF Kupas’.

Apakah penerbit program, juga pemilik stesen tersebut, tidak mencium kontroversi sebelum mengudarakan isu berkenaan?

Menurut kenyataan stesen berkenaan, seperti yang disiarkan media: “...sebahagian daripada penonton menganggap kami mempersoalkan hukum hudud sedangkan kami tidak berniat sedemikian. Kami hanya mengajak penonton supaya mempertimbangkan beberapa persoalan mengenai pelaksanaannya...”

Semua orang tahu membincangkan mengenai pelaksanaan hudud sama jugalah seperti perbincangan mengenai hukum hudud itu sendiri. Apa perlunya perbincangan terbuka itu disiarkan, sedangkan – mohon maaf – mungkin stesen berkenaan sendiri pun tidak betul-betul memahami hudud!

Lagi pun dengan menyiarkan perbincangan mengenai hudud, dan komen-komen dibuka untuk penonton, isu tersebut dengan sendirinya akan ikut disertai oleh mereka yang bukan Islam dan langsung tidak tahu tentang hukum ALLAH.

Apabila orang yang tidak faham mengenai hudud memberi pandangan mengenai isu yang mereka tidak arif, sudah pasti hukum ALLAH akan diperlekeh. Tambah buruk lagi sekiranya yang tidak tahu hudud memberi komen secara emosional, tentu sekali mereka akhirnya menghina hukum Islam.

Memang seperti yang dijelaskan oleh BFM pihaknya tidak berniat untuk mempersoalkan hukum hudud. Tetapi dengan menghebahkan program tersebut di udara, stesen berkenaan sebenarnya telah memberi laluan untuk penonton mengkritik hudud.

Hudud, dan lain-lain hukum agama, tidak sepatutnya dikupas secara terbuka kepada semua orang, termasuk orang kafir, lebih-lebih lagi jika yang tukang kupas itu sendiri pun tidak betul-betul memahami isu yang hendak dikupas.

Kalau pun memang ada niat suci mana-mana pihak untuk membincangkan isu ini, biarlah ia dilakukan secara tertutup dan dikendalikan oleh mereka yang betul-betul pakar dalam hukum syariah.

BFM sebagai stesen berwibawa dan dengan audiens yang luas sepatutnya lebih peka dan tidak dengan suka-suka menyiarkan isu agama. Hudud bukan seperti GST atau 1MDB yang siapa sahaja boleh membincang dan mengkritik.