Hishammuddin syukur juruterbang selamat Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (tengah) dan Menteri Pertahanan Indonesia, Ryamizard Ryacudu (kanan) memberi kata-kata semangat kepada anggota Angkatan Udara Tentera Nasional Indonesia, selepas melawat juruterbang Indonesia yang terhempas ketika sesi latihan, di Hospital Langkawi, hari ini. - Foto Bernama
 
 
 
LANGKAWI - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein melahirkan rasa syukurnya kerana keempat-empat juruterbang aerobatik Jupiter daripada Indonesia yang terbabit dalam insiden pesawat terhempas itu selamat.
 
Menurutnya, walaupun kumpulan juruterbang aerobatik itu terlibat dalam kemalangan, namun mereka tetap bersemangat tinggi untuk meneruskan  persembahan pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa langkawi (Lima) 2015.
 
Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum mengiringi rakan sejawatanya dari Indonesia, Ryamizard Ryacudu melawat kesemua mangsa di Hospital Daerah Langkawi, di sini.
 
Kesemua mangsa berada dalam keadaan stabil dengan hanya mengalami kecederaan ringan di beberapa bahagian badan dan diawasi dengan rapi oleh doktor dan pegawai perubatan hospital daerah itu.
 
Menurut kakitangan hospital berkenaan, kesemua juruterbang Indonesia itu turut menjalani prosedur imbasan bagi memeriksa sebarang kecederaan dalaman yang dialami mereka.
 
Sementara itu, semasa melawat Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LIEC) di Kuah, lokasi Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean, Hishammuddin berkata beliau berpuas hati dengan operasi mencari dan menyelamat (SAR) keempat-empat juruterbang itu.
 
Dalam kejadian jam 2.04 petang itu, dua buah pesawat aerobatik Jupiter milik Angkatan Udara Tentera Nasional Indonesia (AU-TNI) itu terhempas selepas dipercayai bergesel di udara ketika melakukan latihan sempena  Lima 2015. - Bernama