Ahad, 8 Mac 2015

Hishammuddin : PAC Jawab Semua Tuduhan Terhadap 1MDB

RAKYATNEWS


 


LANGKAWI  - Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Malaysia (PAC) menerusi satu jawatankuasa dwipartisan akan menjawab semua tuduhan yang dilemparkan berhubung 1Malaysia Development Bhd (1MDB) bagi memastikan hasil siasatan lebih telus.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, semua pihak perlu menghentikan sebarang tuduhan tidak berasas dan memberikan kepercayaan kepada PAC.

"Kita perlu menyelesaikan isu ini, dan sangat penting ia dilakukan tanpa melibatkan emosi atau di dalam dakwaan tidak berasas,” katanya selepas menghadiri Jawatankuasa Penyelarasan Peringkat Menteri bagi Pameran Antarabangsa Maritim dan Udara Langkawi (LIMA) 2015, hari ini.

Hishammuddin turut mengesahkan beliau dan menteri Kabinet yang lain telah diberi taklimat oleh Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kandasamy dan juga barisan auditor.

Katanya, usul bagi penyusunan semula 1MDB telah dibentangkan kepada Kabinet.

“Saya boleh mengesahkan bahawa kami (anggota Kabinet) telah diberi taklimat. Auditor turut mengesahkan bahawa pengauditan telah dibuat dan selesai, dan kami menerimanya.

“Kedua, penyusunan semula ekonomi strategik 1MDB telah dibentangkan dan saya bersetuju dengan kenyataan terdahulu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa Kabinet akan memberi ruang kepada auditor untuk mempertahankan keputusan mereka.

Turut hadir di mesyuarat berkenaan adalah Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi dan Komander Angkatan Tentera DiRaja Malaysia, Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Berikrar bahawa 1MDB akan berdepan dengan tindakan undang-undang sekiranya didapati melakukan kesalahan, Datuk Seri Najib Razak mengarahkan Ketua Audit Negara untuk mengesahkan akaun syarikat secara bebas dan memberi maklumat berkenaan kepada PAC.

1MDB yang ditubuhkan oleh Kerajaan Persekutuan pada 2009 untuk memacu pelaburan strategik, dikritik hebat selepas mengumpul hutang sebanyak RM49 bilion dan kini didakwa berdepan dengan masalah aliran tunai serta-merta.


Tiada ulasan: