Selasa, 17 Mac 2015

Hina mahkamah boleh undang padah – MT UMNO

 
Kekebalan Ahli Parlimen tidak termasuk ucapan dan tindakan yang tertakluk di bawah Akta Hasutan.


annuar parlimen


PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Annuar Musa tidak menafikan bahawa setiap Ahli Parlimen mempunyai imuniti (kekebalan) untuk berucap di Parlimen dan tindakan tersebut tidak boleh didakwa.

Katanya, walaupun pada umumnya memang benar wujud hak tersebut, namun wakil rakyat juga merujuk apa yang termaktub di dalam Perlembagaan dan peraturan Parlimen dengan lebih jelas kerana tindakan tersebut tidak tertakluk di bawah Akta Hasutan.

“Imuniti (kekebalan) untuk berucap apa sahaja di Parlimen dan tidak boleh didakwa, pada umumnya benar tetapi jangan lupa rujuk perlembagaan dan peraturan Parlimen bahawa kekebalan Ahli Parlimen tidak termasuk ucapan dan tindakan yang tertakluk di bawah Akta Hasutan,” katanya menerusi posting facebooknya.

Katanya, ucapan menghasut termasuk menghina mahkamah dan menyentuh institusi yang dilarang untuk disentuh boleh mengundang padah kerana tindakan tersebut jelas melanggari undang-undang dan Perlembagaan negara.

“Adalah penting Ahli Parlimen terutamanya yang baru sepenggal dua dilantik meneliti segala peraturan, Perlembagaan dan akta berkaitan agar tidak membawa padah kepada diri sendiri,” jelasnya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen PKR Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menuduh hakim Mahkamah Persekutuan menjual diri kepada syaitan kerana mengekalkan hukuman penjara terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kesalahan meliwat.

Nurul Izzah, menggunakan imunitinya sebagai wakil rakyat di Dewan Rakyat untuk mengkritik dan menuduh institusi kehakiman itu dipengaruhi politik.

Malah tindakan tersebut menyebabkan beliau ditahan mengikut Akta Hasutan berdasarkan ucapannya di Parlimen.

Tiada ulasan: